PRN Johor: Pertama kali mengundi, satu 'milestone' untuk kehidupan - Engku Puteri Arwyn Mysara
Firdaus Azil
Mac 12, 2022 17:05 MYT
Mac 12, 2022 17:05 MYT
JOHOR BAHRU: Selama ini hanya mendengar kegirangan ibu bapa dan nenek serta datuknya tentang proses mengundi, kali ini Engku Puteri Arwyn Mysara Engku Ismeal Putera Al-Madeah, dapat merasai pengalaman yang sama.
Bagi anak gadis berusia 19 tahun itu, dia merasakan ini adalah satu lagi peristiwa penting atau ‘milestone’ dalam kehidupannya.
Lebih mesra dikenali sebagai Arwyn, dia memberitahu Astro AWANI bagaimana terujanya rasa dapat memainkan peranan dalam proses demokrasi yang bakal membentuk Kerajaan Negeri Johor untuk lima tahun seterusnya.
“Kali pertama mengundi, segalanya berjalan dengan cukup lancar. Ia agak merisaukan, tetapi masih mengujakan. Dan ya, saya memang ternanti-nanti ketibaan hari yang cukup bersejarah ini,” katanya lagi.
Arwyn merupakan antara pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, yang menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Youis Yap (Perikatan Nasional), Ang Boon Heng (Barisan Nasional), Andrew Chen Kah Eng (Pakatan Harapan), Saiful Bahari (Parti Bangsa Malaysia), dan Moharam Baharom (Bebas).
Dia juga merupakan generasi pertama yang mengundi di bahawa usia 21 tahun, selepas pewartaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik oleh Kerajaan Malaysia.
Ditanya mengenai cara dia menentukan undi, Arwyn berkata, pada peringkat ini, pandangannya mengenai politik dipengaruhi oleh dua perkara – keluarga, dan dapatan maklumat dari media sosial.
“Dalam menentukan undi, saya melihat bagaimana Johor ini ditadbir sejak beberapa tahun lepas, bagaimana prestasinya sebelum ini dan dan sebagainya. Selain itu saya juga memerhatikan cara parti-parti politik dan calon berkempen.
“Saya sangat dipengaruhi oleh keluarga saya, selain maklumat yang didapati di media sosial. Kadang-kadang saya membaca capaian yang dihantar oleh datuk dan nenek saya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ng Pei Zhen, 27, turut menzahirkan keterujaannya kerana buat pertama kalinya dapat mengundi di negara kelahirannya.
Pei Zhen berkata, sejak usia 17, dia telah menetap di Australia, dan kini merupakan seorang jurutera di negara itu.
“Susulan pendaftaran secara automatik, saya memutuskan untuk pulang ke Malaysia, sambil mengambil kesempatan untuk bertemu dengan datuk dan nenek saya.
“Rakan saya merupakan sebahagian daripada pasukan calon yang bertanding di kawasan ini, dan memang saya banyak membaca tentang situasi semasa politik di negara ini. Sedikit sebanyak ia mempengaruhi undi saya,” katanya lagi.
#Johor Memilih
#Undi 18
#pengundi baharu
#DUN Stulang
#Engku Puteri Arwen Mysara
#PRN Johor
#pengundi muda
#Ng Pei Zhen