PRN Johor: Perlu jelaskan kepada pengundi rasional bubar DUN - Wan Rosdi

Hilmi Malik
Mac 7, 2022 09:57 MYT
Wan Rosdi mendakwa, Hasni sukar laksanakan tugas sebagai MB Johor akibat tiada kestabilan politik dan sering menerima tekanan. - Foto Astro AWANI
MERSING: Masyarakat di negeri Johor perlu diberi pemahaman berhubung rasional di sebalik langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Penyelaras Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Zon Utara, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail berkata, ada pihak yang masih belum memahami sebab langkah itu diambil dan menggunakan situasi tersebut untuk dijadikan sebagai isu.
“Kita akan terus berjumpa dengan pengundi di lapangan, dan akan gunakan media sosial secara agresif dalam masa sama, untuk terangkan kepada mereka apa rasionalnya pembubaran DUN.
“Sebab, mereka masih gunakan isu itu (bubar DUN) yang dikatakan tidak sepatutnya berlaku dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama pengundi di Endau malam tadi.
Dalam pada itu, Wan Rosdi yang juga merupakan Menteri Besar Pahang berkata, keadaan di Johor juga berpunca daripada faktor kestabilan politik yang tidak kukuh.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Malah, katanya, negeri itu juga kelihatan merudum dalam waktu era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Ekonomi di Johor menguncup akibat tiada kestabilan politik dan MB Johor (Datuk Hasni Mohammad) sukar untuk jalankan tugas kerana diasak dan diletakkan syarat, sehingga menggugat pentadbiran.
“Cara terbaik, kita serahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya, dengan harapan mereka buat pilihan yang tepat,” katanya lagi.
Ditanya mengenai potensi BN di Mersing, beliau melihat kemenangan mampu berpihak kepada BN namun pada masa sama mengakui tidak boleh terlalu yakin.
PRN Johor | Perlu jelaskan rasional bubar DUN - Wan Rosdy
Berbaki beberapa hari lagi tempoh berkempen, BN Pahang turut meningkatkan jentera partinya bagi memberi sokongan kepada PRN Johor.
“Saya nasihatkan jentera saya supaya jangan terlalu yakin kerana politik ini sangat agresif dan dinamik.
“Jika kita terus jumpa pengundi dan terangkan rasional pilih BN, semuanya akan baik.
"Kalau ekonomi menguncup, anak-anak muda tiada tempat (peluang pekerjaan) dan ini semua akan diterangkan,” ujarnya.
Tegas Wan Rosdi, apa yang berlaku di Johor tiada matlamat lain selain ingin mengembalikan kecemerlangan ekonomi di negeri itu seperti satu ketika dahulu.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan calon BN DUN Endau, Youzaimi Mohd Yusof.
#PRN Johor #Wan Rosdi Wan Ismail #rasional bubar DUN Johor #kestabilan politik
;