PRN Johor: Perlu dapatkan pandangan KKM dahulu - Hishammuddin
Fareez Azman
Januari 17, 2022 14:17 MYT
Januari 17, 2022 14:17 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan pihaknya perlu mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang keputusan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibuat.
Bagaimanapun, pihaknya bersedia untuk bertemu dengan kepimpinan negeri Johor jika sebarang keputusan dimuktamadkan.
"Kita mesti mendapat pandangan KKM, orang Johor akan tanya apa bezanya PRN Melaka dan PRN Sarawak sekiranya PRN Johor diteruskan, bukan untuk saya menentukan.
"Apabila ia diputuskan nanti, tugas saya menteri yang mengkoordinasikan COVID-19 diantara kementerian2. Saya akan bawa bersama kita kepada kepimpinan negeri Johor dan kita tunggu keputusan dulu," jelasnya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Menurutnya, sekiranya perlu dilakukan PRN Johor, sudah menjadi kemestian agar prosedur operasi standard (SOP) seperti di PRN Melaka, Sabah dan Sarawak dikenakan.
"Untuk COVID-19, jangan takut-takutkan orang ramai, yang penting sekiranya keputusan perlu diadakan PRN biarlah ia berjalan dengan selamat.
"Apa pengalaman kita di Sabah, Melaka dan Sarawak menjadi sandaran," tambahnya.
Terdahulu, spekulasi berhubung PRN Johor bertiup kencang selepas dakwaan pergolakan politik di negeri itu.