PRN Johor: Peratusan keluar mengundi mungkin lebih rendah dari jangkaan SPR, PRN Melaka - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 12, 2022 14:10 MYT
Penganalisis jangka sehingga pukul 6 petang, peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) adalah sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peratusan undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini mungkin rendah berdasarkan perkembangan semasa yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanya Pilihanraya (SPR) setakat tengah hari ini.
Menurut Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Prof. Madya Mohd Izani Mohd Zain, peratusan undi yang mampu dicatatkan sehingga menjelang petang nanti mungkin akan lebih rendah berbanding apa yang berlaku pada PRN Melaka sebelum ini.
“Kalau kita melihat peratusan sehingga 12 tengah hari hanya 29 peratus sahaja, jadi saya mungkin menjangkakan sehingga jam 6 petang nanti peratusan undi mungkin boleh mencecah sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja.
“Ini mungkin satu peratusan pengundian yang agak rendah berbanding di Melaka. Itulah sebenarnya kebimbangan dan perkara yang pernah kita utarakan sebelum ini iaitu dengan pelaksanaan Undi18 dan juga pendaftaran secara automatik yang tidak pernah mengundi sebelum ini yang tidak ada kesedaran dan sebagainya,” katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Jelasnya lagi, berdasarkan kajian sebelum ini juga menunjukan bahawa daya tarikan dalam kalangan pengundi baharu membabitkan mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya.
Kata Mohd Izani, jika rakan-rakan sekeliling mereka tidak berminat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, hal yang sama boleh menjadi faktor mempengaruhi sikap golongan tersebut.
Senario itu, kata beliau, sekali gus menunjukan kesedaran tentang hak dan kepentingan terhadap mengundi itu masih lagi rendah untuk golongan tersebut.
Justeru, beliau berkata, peratusan undi pada PRN kali ini akan menyaksikan penurunan yang mungkin akan tersasar daripada jangkaan yang telah ditetapkan oleh SPR iaitu sekurang-kurangnya 70 peratus.
Dalam masa sama, Mohd Izani tidak menolak peratusan rendah itu juga mungkin disumbangkan oleh keadaan semasa termasuk ancaman jangkitan COVID-19 .
#COVID-19 #peratusan keluar mengundi #PRN Johor #PRN Melaka
;