PRN Johor: Pentas demokrasi dibuka tepat jam 8 pagi

Astro Awani
Mac 12, 2022 00:00 MYT
Petugas SPR membuat persiapan menjelang hari pengundian hari ini pada PRN Johor ketika tinjauan di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri, Johor Bahru, 11 Mac 2022. --fotoBERNAMA
JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuka tirai dengan sejarah tersendiri selepas menyaksikan penyertaan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun buat pertama kali dalam sistem demokrasi negara.
Seramai 173,177 pengundi baharu dalam kumpulan tersebut akan terlibat pada hari pengundian.
Proses pengundian PRN Johor bermula 8 pagi ini dengan 1,021 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 4,638 saluran bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan baharu.
Pengundian membabitkan 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi.
Ia akan dikendalikan seramai 49,290 petugas pilihan raya di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 6 petang.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca hari ini pada sebelah pagi diramal cerah di kesemua 10 daerah di Johor, manakala tujuh daerah diramal hujan pada sebelah petang.
Ia melibatkan daerah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, serta Johor Bahru.
Pada 8 Mac, seramai 22,531 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing membabitkan 63 pusat pengundian awal dengan 83 saluran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi yang bergejala mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Manakala pengundi berstatus Patient Under Investigation (PUI) dan Person Under Surveillance (PUS) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi.
Seramai 239 calon disahkan akan bertanding untuk 56 kerusi DUN.
Pada PRN kali ini juga, saingan melibatkan empat penjuru mendominasi lebih separuh daripada kerusi yang dipertandingkan iaitu 35 kawasan, diikuti lima penjuru di lapan kerusi, tiga penjuru ( lapan kerusi), enam penjuru (empat kerusi) serta tujuh penjuru (dua kerusi).
#PRN Johor #hari pengundian #pengundi muda #pusat pengundian