PRN Johor: Pengundi usia pertengahan paling kurang keluar mengundi - Penyelidik
Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 12, 2022 16:52 MYT
Mac 12, 2022 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Pengundi golongan pertengahan membabitkan umur antara 30 hingga 40 tahun mencatatkan peratusan paling rendah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.
Menurut Pengurus Penyelidik Kanan Merdeka Center, Tan Seng Keat, data semasa peratusan pengundian menunjukan saluran 1, 2 dan 3 selain saluran 7, 8 dan 9 berlaku peningkatan dari semasa ke semasa.
“ Yang tidak keluar mengundi itu adalah yang umur pertengahan. Kalau tengok data umur 30-an dan 40-an.
“Adakah disebabkan oleh COVID-19 atau mereka kurang minat dalam PRN? Aau mereka memang ada kerja di luar dan tak sempat balik?” soal beliau dalam wawancara dengan Astro AWANI pada Sabtu.
Tambah Seng Keat lagi, kebimbangan terhadap ancaman jangkitan COVID-19 dilihat antara faktor kerisauan orang ramai untuk keluar mengundi hari ini.
Ini katanya, berdasarkan statistik jangkitan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang menunjukan kes aktif membabitkan negeri Johor ketika ini adalah tinggi.
“Kalau ikutkan laman web KKM ketika ini, kes aktif di Johor ketika ini sahaja berjumlah lebih 19,000 kes selain kes kuarantin rumah dalam 18,000. Jadi total lebih kurang 35,000 bagi mereka yang ada masalah untuk keluar mengundi,” jelas Seng Keat.
Dalam masa sama, beliau berkata, peruntukan undang-undang yang sedia ada ketika ini melarang golongan yang dijangkiti COVID-19 keluar mengundi juga turut menyebabkan peratusan undi menurun.
Kaedah tersebut berbeza dengan apa yang berlaku di luar negara seperti Korea Selatan yang baru sahaja selesai proses mengundi di mana mereka mempunyai sesi khas bagi pengundi yang didapati positif COVID-19.
Kata Seng Keat, kaedah itu lebih baik berbanding prosedur operasi standard (SOP) yang dipraktikkan oleh Malaysia ketika ini dilihat menghalang hak yang sepatutnya dimiliki oleh mereka yang layak menunaikan kewajipan tersebut.