PRN Johor: Penggunaan logo, wujudkah keretakan dalam PH? - Sivamurugan
Umavathi Ramayah
Januari 27, 2022 16:37 MYT
Januari 27, 2022 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Pakatan Harapan (PH) membenarkan PKR menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang memberi gambaran seolah-olah wujudnya keretakan hubungan antara parti gabungan pembangkang itu.
Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Sivamurugan Pandian memberitahu, tindakan itu juga menimbulkan kegelisahan dan perselisihan dalaman yang akhirnya akan mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli gabungan itu.
"Ini juga akan membawa kepada persoalan keikhlasan dan kejujuran dalam menggunakan satu logo dan barisan kepimpinan sudah pasti perlu memberi justifikasi yang mantap supaya ia tidak akan membolosi perancangan meraik sokongan pengundi," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sivamurugan memberitahu, pengundi di luar sana sudah tentu akan memerhati setiap pergerakan dan justeru itu permusuhan dalaman yang diperhati seolah-olah tiada kesepakatan, penyatuan dan integrasi politik sesama mereka perlu dielakkan.
Beliau turut membangkitkan persoalan logo yang akan dikemukakan oleh calon menteri besar daripada pihak pembangkang.
"Jika seseorang diperkenalkan sebagai calon menteri besar apakah beliau akan menggunakan logo PKR atau PH?," soalnya.
Beliau menjelaskan penggunaan logo adalah simbol penyatuan dimana pengundi ada kalanya tidak melihat pada calon atau isu sebaliknya soal kesetiaan parti bermula dengan pendirian untuk menyokong idelogi dan simbol.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan yang PKR membuat keputusan untuk menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua rakan sekutunya iaitu Amanah dan DAP akan kekal menggunakan logo PH.
Keputusan ini dibuat susulan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, pada Rabu.