PRN Johor: Pengarah filem calon tunggal PSM

Bernama
Februari 21, 2022 00:03 MYT
Pengarah Pilihan Raya Nasional PSM itu juga berkata Ara dipilih mengikut polisi parti yang menggariskan bahawa calon perlu berkhidmat di kawasan ditandingi sekurang-kurangnya dua tahun. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Parti Sosialis Malaysia (PSM) malam ini mengumumkan akan bertanding satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Timbalan Pengerusi PSM S. Arulchelvan berkata parti itu memilih seorang pengarah filem iaitu R. Arangkannal, 46, atau lebih dikenali sebagai Ara, sebagai calon tunggal untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar.
"Ara juga telah menjadi aktivis selama 10 tahun dan bersama dengan PSM selama dua tahun di Kota Iskandar," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PSM di Kampung Baru Kangkar Pulai dekat sini.
Pengarah Pilihan Raya Nasional PSM itu juga berkata Ara dipilih mengikut polisi parti yang menggariskan bahawa calon perlu berkhidmat di kawasan ditandingi sekurang-kurangnya dua tahun.
Arulchelvan berkata meskipun ini kali pertama PSM bertanding pada PRN Johor, beliau yakin calon parti itu mampu menarik undi pemilih berdaftar di kawasan tersebut.
Pada majlis pengumuman calon itu, Ara turut membuat pengisytiharan harta dan berikrar untuk tidak menggunakan sentimen perkauman ketika berpolitik.
Ara merupakan lepasan Universiti Sains Malaysia dalam bidang Perfileman dan Sains Politik selain berpengalaman selama 20 tahun dalam industri perfileman serta penyiaran.
-- BERNAMA
#PRN Johor #PSM #R Arangkanna #pengarah filem
;