PRN Johor: Pengamal media antara pengundi terakhir

Izlaily Nurul Ain Hussein
Mac 12, 2022 19:11 MYT
Raja Jaafar Raja Ali meninggalkan Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Mohd Khir Johari selepas melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Negeri Johor pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Pengamal media antara tiga pengundi terakhir di pusat mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di Sekolah Kebangsaan (SK) Mohd Khir Johari di sini, petang tadi.
Jurufoto Utusan Malaysia, Raja Jaafar Raja Ali, 58, tiba di pusat mengundi itu pada pukul 5.50 petang sebelum selesai mengundi empat minit kemudian.
Raja Jaafar yang sudah sembilan kali mengundi dalam pilihan raya turut menjadi pengundi ke-400 bagi saluran empat di pusat mengundi berkenaan.
Berikutan tugasnya sebagai jurufoto yang perlu merakam perjalanan proses mengundi sepanjang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menyebabkan Raja Jaafar hanya sempat menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat negeri itu pada saat akhir.
"Saya keluar rumah pukul 7.30 pagi dan terus menjalankan tugas sebagai jurufoto. Disebabkan tugasan yang sangat padat, saya hanya dapat ke pusat mengundi pada pukul 5.50 petang.
"Saya bersyukur kerana pagar pusat mengundi masih dibuka dan saya masih sempat untuk mengundi," katanya Raja Jafaar yang tinggal di Taman Sierra Perdana, Pasir Gudang ketika ditemui di pusat mengundi berkenaan di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Asnah Omar, 53, dan Abd Malek Abd Rahman, 37, juga sempat menjejakkan kaki ke pusat mengundi itu sebelum pukul 6 petang.
Menurut Asnah, dia yang tinggal di Taman Gembira di sini, bekerja sebagai juruwang dan selesai tugas pada pukul 8 pagi.
"Saya habis kerja jam 8 pagi tadi. Akibat letih saya tidur dan berehat terlebih dahulu. Selepas itu, saya mengemas rumah dan baharu keluar mengundi," katanya.
Abd Malek pula berkata, dia bergerak dari Jementah, Segamat pada pukul 1.30 petang dan singgah di Peserai, Batu Pahat bagi menghantar isterinya yang mengundi di DUN Semerah.
"Saya tinggal di Kampung Melayu Majidee di sini dan saya memang tidak risau terlambat kerana sudah membuat rancangan masa perjalanan dari Segamat ke sini," kata pekerja ladang itu.
Tepat pukul 6 petang, Penyelia Pusat Mengundi DUN Larkin di SK Mohd Khir Johari, Rodyisnansyah Julaihi menutup pagar sekolah itu menandakan proses mengundi bagi PRN Johor sudah pun tamat.
#PRN Johor #pengamal media #Raja Jaafar Raja Ali #jurufoto Utusan Malaysia
;