PRN Johor: Pemimpin Bersatu pulang ke UMNO satu proses pemulihan - Annuar Musa

Firdaus Azil
Februari 7, 2022 11:12 MYT
Ibarat belut pulang ke lumpur, dan sirih pulang ke gagang, Annuar berkata, UMNO sendiri harus terbuka untuk menyambut kepulangan mereka. -Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa menganggap kembalinya pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia kepada UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu proses ‘pemulihan’.
Dalam perkongsian terbaharu di Facebooknya, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau turut dimaklumkan lebih ramai lagi pemimpin Bersatu bersedia untuk berbuat demikian.
Katanya lagi, tindakan kumpulan berkenaan ibarat ‘belut pulang ke lumpur, dan sirih pulang ke gagang’, yang mana Annuar berkata UMNO sendiri harus terbuka untuk menyambut kepulangan mereka.
“Kita ahli dan penyokong setia parti harus membuka pintu, menyambut kepulangan ini.
"Mudah-mudahan ia turut merintis kepulangan dukungan rakyat keseluruhannya terhadap parti keramat warisan bangsa ini.
“Dalam sejarah politik negara, parti serpihan biasanya berjuang di bawah dukungan personaliti, bukan organisasi atau idealogi. Lazimnya,hayatnya juga tidak lama.
“Namun UMNO adalah sebuah parti berakar umbi, punya organisasi dan tidak terlalu bergantung kepada personaliti.
"Kepimpinan sering ‘patah tumbuh hilang berganti’,” katanya lagi.
Annuar, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, Umno harus terus bersikap terbuka kerana UMNO itu harus memimpin.
#Johor Memilih #Annuar Musa #UMNO #Bersatu
;