PRN Johor: Pembubaran DUN tindakan diatur desak PM bubar Parlimen - Majlis Presiden PH

Fareez Azman
Januari 24, 2022 19:34 MYT
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan amat membebankan rakyat terutama ketika isu ekonomi dan COVID-19 masih lagi memberi kesan kepada masyarakat. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah tindakan yang diatur untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen, seterusnya melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan pada Isnin, katanya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu amat membebankan rakyat terutama ketika isu ekonomi dan COVID-19 masih lagi memberi kesan kepada masyarakat.
"Majlis Presiden PH berpandangan pembubaran DUN Johor ini adalah satu tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana PRU15 segera.
"Pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak COVID-19, dan banjir, PRU Johor akan amat membebankan rakyat.
"Walau bagaimanapun, PH telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU Johor," jelas kenyataan itu.
BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Mengenai persiapan dan pengagihan kerusi pula, katanya ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, menjelang PRN Johor, PH berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memperbetulkan prosedur operasi standard (SOP) kempen sepanjang PRN Johor.
Jelas Majlis Presiden PH, ia bagi memastikan aktiviti yang dibenarkan dapat dijalankan dengan selamat.
"PH berpendirian bahawa SPR perlu memperbetul SOP bagi kempen PRU Johor ke-15 bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.
"Ini termasuk membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah-ke-rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP, akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan ruangan cetak (akhbar, media online)," jelas kenyataan itu.
Turut dicadangkan agar SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik.
Bagi tempoh kempen pula, Majlis Presiden PH mencadangkan ia perlu diperuntukkan sekurang-kurangnya selama 21 hari.
"Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam
usaha memenangi PRU Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang
telah diperolehi pada PRU14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan
negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik," jelas kenyataan itu lagi.
#PRN Johor #Johor Memilih #majlis presiden PH #Perdana Menteri
;