PRN Johor: Peluang pekerjaan, harga barang antara harapan di DUN Senggarang

Hasimi Muhamad
Februari 23, 2022 15:33 MYT
(Dari kiri) Amir Firdaus, Mohamad Arif dan Salmah adalah antara mereka yang sempat menitipkan harapan di DUN Senggarang menjelang PRN Johor nanti. - Astro AWANI
BATU PAHAT: Peluang pekerjaan, kemudahan perbankan serta mengurangkan kenaikan harga barang antara harapan yang disuarakan segelintir pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, di sini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
DUN yang terletak di bawah Parlimen Batu Pahat itu bakal menyaksikan seramai 37,374 pengundi yang layak menjalankan tanggungjawab dalam PRN yang ditetapkan pada 12 Mac depan.
Tinjauan Astro AWANI di pekan sekitar Senggarang turut mendapati pembinaan kilang di kawasan tersebut mampu merancakkan ekonomi penduduk sekitar, khususnya golongan belia yang ketika ini banyak berhijrah ke luar Johor untuk bekerja.
"Bagi saya untuk kawasan Senggarang ini kebanyakan sumber pendapatan adalah sektor pertanian dan perikanan.
"Sekiranya ada syarikat besar atau kilang yang boleh dibuka di sini, ia lebih baik. Macam sekarang ini di Tanjong Labuh (Senggarang) ada kilang santan, itu salah satu. Tetapi sekiranya dapat lebih banyak, saya rasa sektor ekonomi akan lebih berkembang," kata peniaga sayur, Amir Firdaus Misgiman, 30.
Amir menambah dia juga yakin pembukaan sempadan negara nanti akan mampu memulihkan ekonomi penduduk setempat.
"Bagi saya misal kata sempadan sudah dibuka seperti biasa, ramai anak muda akan pergi ke Singapura dan bekerja di sana. Apabila bekerja, balik sini dan bawa balik duit, dan berbelanja, ia akan merancakkan ekonomi di sini," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, dia berharap fasiliti perbankan dapat diperbanyakkan di kawasan Senggarang bagi memudahkan penduduk sekitar menggunakan perkhidmatan tersebut.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Mohamad Arif Shamsudin, 26, berpandangan kemudahan sukan di kawasan berkenaan perlu ditambah baik bagi mengelakkan golongan muda terjebak dalam aktiviti tidak sihat.
"Mungkin boleh berikan bantuan atau tempat sukan untuk budak-budak muda main sukan. Selain itu, dari segi bantuan untuk berniaga kepada peniaga muda dan tepi jalan.
"Ketika ini ada kemudahan futsal, tetapi perlu ditambah baik. Kalau ada yang elok pun, ia (terletak) di luar kawasan (Senggarang)," katanya.
Bagi Salmah Amat, 56, yang sudah 18 tahun berniaga pula, dia berharap isu kenaikan harga dapat diatasi bagi mengurangkan beban dalam kalangan peniaga dan pelanggan.
"Peniaga biasalah kan, (kalau) ada orang, ada (pendapatan). Kalau tiada, tiada... Tetapi barang mahal, ia terjejas juga. Kalau kita nak naikkan nanti orang bising, tetapi naik sikit-sikit itu bolehlah.
"Kurang (pelanggan), kalau biasa gaji dapat RM50, paling tak tinggal RM30," akuinya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Senggarang dimenangi oleh Khairuddin A. Rahim yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 809 undi.
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zaidi Japar dan Dr Mohd Ramli Md Kari (Pas).
Bagi PRN Johor ini, Pakatan Harapan (PH) meletakkan Abdul Hamid Jamah (Amanah) di DUN Senggarang, sementara Khairuddin dicalonkan di DUN Rengit.
#PRN Johor #Harapan pengundi DUN Senggarang #UMNO #Politik Malaysia
;