PRN Johor: Pejuang lebih ikhlas perjuang nasib rakyat Johor - Abdul Aziz
Firdaus Azil
Mac 10, 2022 11:40 MYT
Mac 10, 2022 11:40 MYT
TEBRAU: Kerusi Dewan Undangan Negeri N40 Tiram, yang terletak di Parlimen Tebrau menjadi antara perbualan hangat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, kerana ia merupakan antara dua DUN yang menghadapi saingan tujuh penjuru.
Kerusi DUN yang wujud sejak 1986 ini telah menyaksikan kenaikan jumlah pengundi yang mendadak, iaitu 105,707 orang, berbanding 60,686 pada pilihan raya umum ke-14.
Profil DUN N40 Tiram
Untuk PRN kali ini, tujuh calon selain Abdul Aziz ialah Azizul Bachok dari Barisan Nasional, Karim Deraman (Perikatan Nasional), Mohd Azmi Ali (Parti Bangsa Malaysia), dua calon Bebas iaitu P Bala Sundaram dan J Jayasangkar, selain S Gopalakrishnan (Parti Keadilan Rakyat) yang akan cuba mempertahankan kerusi tersebut.
Pada PRU yang lepas, Gopalakrishnan telah memenangi kerusi ini dengan majoriti 8,098 undi, menewaskan Datuk Maulizan Bujang dari BN, dan Azmat Atmin dari PAS.
Abdul Aziz ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini berkata, jumlah pengundi dari usia 18 – 21 sahaja menjangkau sehingga 10,000 orang.
“Kerana rata-rata calon nak kejar undi, cukup sudah dengan 10,000 pengundi muda itu. Tapi di mana anak muda tersebut?
"Jadi ini satu lagi cabaran, dan aspirasi yang kita terutamanya dari Parti Pejuang untuk tampil dan mencari undi anak muda tersebut.
“Dari pengundi lain tak boleh nafi juga demografi, kerana 105,000 pengundi itu di mana jantina agak sama rata antara lelaki dan perempuan.
"Kerusi ini majoritinya adalah kaum Melayu sendiri iaitu 57%, Cina 29%, India 12%, dan 2% kaum lain-lain, termasuk Seletar dan Malabari,” katanya lagi.
Bercakap mengenai kaum Malabari, Abdul Aziz berkata, biarpun mereka adalah minoriti, tetapi sejarah menunjukkan bahawa kaum tersebut telah sekian lama menetap di kawasan ini, sehingga ada yang berkata, Tiram ini merupakan ‘serambi’ untuk masyarakat Malabari.
“Saya dah jumpa mereka, dan rata-rata mereka ini mahukan satu perubahan, satu suara baru, wakil rakyat yang betul-betul berkhidmat.
“Saya jumpa anak muda, peniaga, pengusaha teksi dan mereka meluahkan perkara yang sama.
"Terlampau banyak politik, banyak sangat parti. Janji diberikan, tetapi akhirnya bila sudah menang, tidak ada wakil yang nak lihat dan bantu,” katanya lagi.
Rumitkah masalah rakyat di DUN Tiram?
Abdul Aziz berkata, sepanjang beliau berkempen dan menyantuni penduduk di sini, beliau mendapati pelbagai masalah yang perlu diselesaikan dengan segera.
Antaranya, katanya lagi, seperti laporan khas Astro AWANI beberapa hari lepas tentang masalah bekalan air bersih Kampung Orang Asli Pasir Salam, serta faktor pencemaran Sungai Kim Kim yang pernah terjadi pada 2019.
“Agak pelik bila memikirkan Malaysia sebuah negara maju, Johor yang mempunyai teknologi tinggi, dan sudah tentu Astro AWANI sendiri telah melihat masalah di Kampung Orang Asli itu.
"Jadi di mana punca kesilapan ini, siapa harus bertanggungjawab? Perkara seperti air itu perkara asas. Ini perkara kita harus lihat dan angkat.
"Di situ saya ingin mengabdikan diri saya, dan jika dipilih, saya akan bawa suara itu ke Dewan Undangan Negeri.
“Di kawasan ini, kita boleh tengok pembangunan sangat pesat, kilang dan sebagainya. Tetapi hari ini penduduk minta saya lihat, kemudahan asas tiada di sini.
"Perlukan pendekatan, perlukan suara untuk dapatkan apa yang mereka perlukan,” tegasnya lagi.
Apa beza parti Pejuang dengan parti lain?
Mengakui Pilihan Raya Johor ini sangat meriah dengan pelbagai pilihan parti yang ada, Abdul Aziz berkata, Pejuang merupakan satu-satunya parti yang mempunyai prinsip, dan tegas dalam memperjuangkan agenda anti-rasuah.
“Sudah tentu perkara pertama bezakan Pejuang ialah prinsipnya. Kerana kita boleh lihat dua PRN sudah berlaku di Melaka dan Sarawak.
"Asasnya adalah itu bukan kehendak kita. Masih dalam keadaan rakyat suffering, pendapatan terjejas. Jadi Pejuang tak mahu main peranan untuk perebutan kuasa tersebut.
"Berbeza dengan Johor, kita telah melihat, kita juga mual dan muak dengan permainan di mana sebenarnya kerajaan tak perlu dibubarkan pun. Jadi sebab itu kali ni Pejuang masuk,” katanya lagi.
Katanya lagi, Pejuang masuk untuk memastikan parti-parti lain, khususnya Barisan Nasional, tidak boleh membuat sebarang langkah dengan sewenang-wenangnya, tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.
Peluang untuk Pejuang di Tiram?
Biarpun dengan saingan yang cukup sengit, Abdul Aziz optimis dapat membuat kejutan di kerusi tersebut.
“Sudah pasti peluang dengan ruang untuk Pejuang dalam mempertahankan hak Orang Melayu dan Islam sangat besar di sini.
"Kerana berdasarkan perjumpaan saya dengan mereka, rata-rata keluhan yang didengari ialah, mereka memerlukan wakil rakyat yang boleh berkhidmat.
“Jadi saya tampil dengan #abdulazizuntuktiram, saya letak diri seadanya.
"Saya sudah dalam NGO sejak 19 tahun, sampai sekarang, bermaknya saya sudah biasa membantu masyarakat,” katanya lagi.
Abdul Aziz berkata, politik itu memerlukan dua elemen, iaitu kuasa dan kerja-kerja sukarelawan, yang beliau yakin dapat memastikan kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain, demi memastikan masyarakat Tiram hidup sejahtera.