PRN Johor: Pejuang fokus menang kerusi sebanyak mungkin, calon MB kemudian - Mukhriz

Firdaus Azil
Februari 10, 2022 23:15 MYT
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, buat masa ini Pejuang telah menetapkan untuk bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan fokus jentera ialah untuk memenangkan calonnya seramai mungkin. - Astro AWANI
SKUDAI: Tiada keperluan untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menamakan calon Menteri Besar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini, kata Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, buat masa ini Pejuang telah menetapkan untuk bertanding di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan fokus jentera ialah untuk memenangkan calonnya seramai mungkin.
Selain itu, beliau berkata, tiada gunanya untuk menamakan calon Menteri Besar, jika akhirnya hanya seorang sahaja calon yang menang daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Johor ini.
We don’t have MB candidate yet (Kita belum ada calon MB). Kita cuba memberi fokus untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi DUN Johor. Tiada makna jika seorang sahaja menang, tak cukup untuk membentuk kerajaan.
“Jadi kami tidak mahu mengulangi kesilapan seperti itu. Apa yang penting ialah meyakinkan kesemua pengundi tentang keyakinan calon-calon kami, supaya mereka dapat diberi peluang kali ini,” katanya lagi.
Apabila tiba masanya , Mukhriz berkata, Pejuang akan menamakan calon pilihan mereka untuk jawatan Menteri Besar Johor.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pejuang bagi PRN Johor, di sini malam ini.
Ditanya mengenai keputusan Pejuang yang bertekad untuk bergerak solo dalam PRN yang julung-julung kali mereka sertai ini, Mukhriz berkata, pihaknya tidak begitu yakin dengan konsep ‘Khemah Besar’ yang diutarakan oleh Pakatan Harapan.
“Saya tak yakin dengan ‘Khemah Besar’ kerana ianya datang dari pihak yang sudah tandatangani perjanjian dengan kerajaan yang sedia ada.
“Kita langsung tak boleh dilihat bersekongkol dengan kerajaan yang ada. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, di mana ada kleptokrat di situ kami tiada. Maksudnya kami tak boleh tandatangani MoU dengan kerajaan BN yang ada,” tegasnya lagi.
Mengenai senarai calon, Mukhriz berkata, ia berkemungkinan besar akan diumumkan dalam satu majlis, dua hari sebelum tarikh penamaan yang jatuh pada 12 Mac depan.
Selain bersandarkan kepada Kempen Anti Rasuah, beliau berkata Pejuang juga akan menjalankan kempen berdasarkan Dokumen Aspirasi Pejuang Johor, yang akan menyentuh mengenai usaha untuk menyelesaikan isu yang melingkari Rakyat Johor.
“Kita akan ada dokumen Aspirasi Pejuang Johor, yang mana kita akan senaraikan perkara yang kita rasa penting untuk disyorkan kepada rakyat Johor. Tentunya Kempen Anti Rasuah ini sangat penting, selain kita menjalani ujian Psikometrik.
BACA: PRN Johor: Pejuang wajibkan calon berpotensi jalani ujian antirasuah
“Tetapi waktu sama kita juga pastikan calon-calon kita berbaiah, janji atas nama Allah, kita tidak akan terjebak dengan gejala seperti salah guna kuasa dan sebagainya.
“Ini bagi kami sangat penting untuk kita yakinkan rakyat. Tentu ada maslaah rakyat yang perlu kita cari solusi. Itu juga akan kita masukkan ke dalam dokumen Aspirasi Pejuang Johor,” katanya lagi.
#Parti Pejuang Tanah Air #Pejuang #calon MB #Menteri Besar #PRN Johor #Mukhriz Mahathir #Johor Memilih #pilihan raya negeri
;