PRN Johor: PBM umum calon, pertaruh empat kerusi
Astro Awani
Februari 24, 2022 15:09 MYT
Februari 24, 2022 15:09 MYT
JOHOR BAHRU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) memutuskan akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.
Ia sekali gus tersasar daripada cadangan asal parti itu yang hanya berhasrat bertanding dua kerusi sebelum ini.
Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohd Talha berkata, keputusan meletakkan empat calon pada PRN Johor itu adalah setelah melihat sentimen pengundi di lapangan.
Haniza berkata, apa yang diperolehi daripada maklum balas yang diterima, pengundi sudah jemu dengan parti-parti lama sedia ada.
"Kita sangat realistik sebelum kita buat keputusan untuk masuk ke gelanggang. Kita telah membuat tinjauan parti-parti yang mungkin akan bertanding di kawasan-kawasan ini, juga sentimen pengundi terhadap parti baharu seperti Parti Bangsa Malaysia. Kita dengar pengundi sudah jemu dengan parti-parti lama sebelum ini kerana mereka sudah tahu tindak tanduk parti-parti tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman calon PBM untuk PRN Johor di Ulu Tiram, pada Khamis.
PBM baharu dilancarkan pada 21 Disember 2021 dan PRN Johor adalah pilihan raya pertama disertai parti itu.
Pada PRN Johor, PBM mempertaruhkan empat calon yang terdiri daripada seorang Ahli Parlimen dan tiga calon muka baharu termasuk dua calon muda.
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon akan bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa, manakala Muhammad Hanis Asmui Md Salleh di DUN Maharani, Mohd Azmi Ali di DUN Tiram dan Muhammad Saiful Bahri Sahari di DUN Stulang.
Menurut Haniza lagi, calon-calon PBM mempunyai pengalaman menyantuni rakyat walaupun mereka bukan bergelar wakil rakyat sebelum ini.
Tambahan pula, katanya, pengalaman Steven Choong sebagai Ahli Parlimen Tebrau pula dilihat sebagai kelebihan yang akan membantu dan menjadi penunjuk ajar kepada calon muka baharu mereka.
"Kita menawarkan calon-calon yang saya sebut tadi, walaupun mereka bukan wakil rakyat tapi mereka dah bergerak di lapangan sebagai aktivis masyarakat, menyantuni masyarakat membantu ketika pandemik COVID-19 sebelum ini, tahun 2020 dan selepas itu.
"Kita berharap pengundi Johor adalah pengundi bijak, dapat menilai permata dan kaca dan memberi peluang kepada calon-calon dari Parti Bangsa Malaysia," katanya lagi.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini meluluskan pertukaran nama dan perlembagaan PBM daripada parti asal iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).
PBM diketua Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien.