PRN Johor: PBM sedia kerjasama dengan parti yang berjaya bentuk kerajaan

Shuhada Abdul Kadir
Februari 25, 2022 06:06 MYT
PBM memutuskan untuk meletakkan calon di empat kerusi melibatkan DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).
MUAR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.
Setiausaha Agungnya Nor Hizwan Ahmad berkata, kerjasama itu ditawarkan selari dengan agenda parti untuk menaburkan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Kita meletakkan empat calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sudah tentu empat calon ini tidak boleh membentuk kerajaan, sekali pun semua calon ini menang.
“Jadi, insya-Allah parti ini akan menawarkan diri untuk kita bekerjasama dengan kerajaan, bagi parti menyampaikan hasrat dan matlamat apa yang kita laungkan.
"Sudah tentu kita sedia menjalinkan kerjasama,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Calon DUN Maharani, Hanis Asmui, di sini, malam tadi.
Terdahulu, parti itu memutuskan untuk meletakkan calon di empat kerusi melibatkan DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).
Mengulas lanjut, Nor Hizwan berkata, tawaran itu merupakan langkah permulaan parti itu sekiranya ada calon yang dipertaruhkan pada gelanggang pilihan raya itu memenangi mana-mana kerusi.
“Kerajaan hari ini susah kita nak sebut macam mana, kerana kalau di peringkat Persekutuan ada kerajaan gabungan, tetapi di sini mereka memilih untuk sekali lagi buka peluang kepada rakyat mengundi parti mana akan menang.
“Tetapi, untuk parti bergerak ke hadapan, dengan agenda yang kita nak bawa nanti, kita akan bincang dan memberi kerjasama dengan kerajaan pemerintah," katanya.
#PRN Johor #PBM #Parti Bangsa Malaysia #Nor Hizwan Ahmad
;