PRN Johor: Parti yang 'establish' cabaran besar buat parti baharu - Penganalisis

Hilmi Malik
Februari 16, 2022 17:47 MYT
Kemunculan parti baharu pada PRN Johor bakal membuka langkah yang positif apabila ia bakal menjadi medan untuk menguji kekuatan parti masing-masing.
KUALA LUMPUR : Penyertaan parti baharu seperti Warisan, Pejuang, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi cabaran terhadap mereka untuk bersaing dengan parti politik yang telah mendapat kepercayaan dalam kalangan pengundi.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, meskipun ia membuka alternatif baharu kepada pengundi namun mereka perlu bersedia berdepan dengan parti ternama.
“Dalam konteks mahu mencabar dan menjejaskan sokongan, mungkin sukar untuk mereka berdepan dengan parti yang lebih establish kerana kita lihat pengundi lebih cenderung untuk pilih parti yang terkenal.
“Mereka perlu sedar, parti baharu ini (Warisan, Pejuang, PBM) mungkin masih belum mempunyai reputasi yang baik untuk yakinkan pengundi pada PRN Johor," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Menyentuh mengenai parti Pejuang, Mujibu berpendapat, ia mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada parti Melayu lain seperti UMNO dan Bersatu apabila melihat kepada aspek parti berkenaan yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, kemunculan parti baharu pada PRN Johor, katanya, bakal membuka langkah yang positif apabila ia bakal menjadi medan untuk menguji kekuatan parti masing-masing.
“Sebagai permulaan mereka lakukan tindakan positif dan PRN Johor ini boleh jadi platform sebagai training ground khususnya Warisan yang telah meluaskan pengaruhnya ke semenanjung,” ujarnya lagi.
Bercakap mengenai kemungkinan wujudnya parti yang ingin bergerak secara solo, Mujibu berpendapat, ia bukan jalan yang terbaik dalam usaha mereka untuk membentuk kerajaan.
Sebaliknya, kesemua parti itu perlu menjalinkan kerjasama melalui khemah pembangkang untuk mewujudkan saingan yang sengit.
“Sejauh mana mereka mampu untuk bergerak solo itu yang jadi persoalan, kerana kita perlu melihat kepada aspek akar umbi.
“Saya melihat mereka lebih sesuai untuk bersama dengan pembangkang berbanding bergerak bersendirian kerana ia pasti sukar untuk menang apatah lagi untuk bentuk kerajaan,” katanya lagi.
Pada Selasa, Parti Warisan secara rasmi mengumumkan akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melalui platform Parti Warisan Johor.
Ia bakal diketuai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kukup, Suhaimi Salleh, dengan tujuan untuk memberi pilihan kepada rakyat Johor.
#PRN Johor #Mujibu Abd Muis #pembangkang #UMNO
;