PRN Johor: Parti Bangsa Malaysia tandingi dua kerusi

Bernama
Februari 10, 2022 17:03 MYT
Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi yang ditandingi dan calonnya sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari. - Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) memutuskan parti itu akan meletakkan calon di dua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid berkata, parti itu akan mengumumkan kerusi yang ditandingi dan calonnya sebelum hari penamaan calon pada 26 Februari.
"Kami berharap dapat memberikan saingan yang sihat kepada parti politik lain yang bertanding dalam PRN kali ini, dengan iltizam bagi mengukuhkan aspirasi demokrasi di Negeri Johor Darul Takzim," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PRN Johor adalah medan terbaik untuk PBM memperkenal Agenda The Great Reset 2030 yang terdiri daripada enam tunjang utama.
Ia termasuk mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasa peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.
-- BERNAMA
#PRN Johor #Parti Bangsa Malaysia #Zakaria Abdul Hamid #politik Johor
;