PRN Johor: Ng Yew Aik diumum calon MCA DUN Puteri Wangsa

Bernama
Februari 25, 2022 17:24 MYT
Wee berkata Ketua MCA Bahagian Tebrau Ng Yew Aik akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan. - Bernama
YONG PENG: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini mengumumkan calon terakhir parti itu yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Wee berkata Ketua MCA Bahagian Tebrau Ng Yew Aik akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan.
Beliau membuat pengumuman itu pada Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 yang diadakan di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng di sini.
Bercakap kepada pemberita, Wee berkata MCA mendapat kerusi DUN Puteri Wangsa buat kali pertama dan berjanji akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN dalam PRN Johor ini.
Katanya, jentera PRN MCA telah bersiap sedia untuk membantu semua calon BN tanpa mengira parti komponen sama ada UMNO atau MIC agar BN mendapat mandat untuk memimpin negeri Johor.
Beliau menyifatkan kemenangan MCA pada PRN Johor sangat penting memandangkan parti kaum Cina tidak memiliki sebarang kerusi DUN selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
"Ini sangat penting kerana dalam komposisi kerajaan Johor yang dipilih pada 2018, MCA ketinggalan, kita tidak ada wakil MCA.
"Jadi kita harus menebus kekalahan dan mencerminkan masyarakat majmuk Johor agar tiada kaum yang tertinggal dalam arus pembangunan negara," katanya
Beliau juga memaklumkan daripada 15 calon MCA yang diketengahkan dalam PRN Johor, 10 calon adalah muka baharu yang dilihat dapat meraih keyakinan pengundi muda.
Semalam, Wee mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac.
-- BERNAMA
#PRN Johor #Johor Memilih #MCA #Puteri Wangsa
;