PRN Johor: 'Nak lesen bukan kerana subsidi, tapi keselamatan' - Nelayan

Hasimi Muhamad
Mac 5, 2022 15:45 MYT
Dari kiri: Khid Daud dan Mohd Aris Ali yang berkatasudah puluhan tahun menjadi nelayan tetapi sehingga kini belum memiliki lesen sah. - Foto Astro AWANI
BATU PAHAT: Ibarat curi-curi turun ke laut... itu situasi yang perlu dihadapi oleh segelintir nelayan yang tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
Namun apakan daya, demi meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa juga turun ke laut dengan risiko sendiri.
Jika bernasib baik, mereka pulang dengan hasil tangkapan, namun jika terserempak dengan pihak berkuasa, mungkin lain pula kisahnya.
Situasi sama turut dihadapi sekumpulan nelayan di Kampung Punggur Laut Timur, Rengit, Johor.
Nelayan yang ditemui Astro AWANI mendakwa sudah puluhan tahun mereka tidak mempunyai lesen sah.
Bukan kerana tidak memohon, tetapi kerana 'sukarnya' untuk mereka mendapatkan kelulusan tersebut.
"Saya jadi nelayan ini rasanya sudah lebih 30 tahun, sejak umur 12 tahun saya sudah ke laut sampai sekarang.
"Kita memang sudah mohon beberapa kali, tetapi memang tidak dapat apa-apa tindakan. Sudah lama rasanya... sudah banyak kali kami hantar borang," luah nelayan, Khir Daud, 51 tahun.
Daripada 40 nelayan, difahamkan hanya tujuh orang sahaja yang memiliki lesen sah setakat ini di kampung tersebut.
"Kami pun tidak tahu pasal apa (tak lulus). Sudah penat rasanya kami pergi buat salinan kad pengenalan dan dokumen.
"Itu pun yang ada sekarang ini hanya daripada persatuan nelayan... kami ada kad persatuan itu.
"Tetapi untuk lesen ini memang tiada, cuma baru beberapa hari ini ada hantar (permohonan lesen) untuk dua atau tiga bot sahaja," katanya lagi.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Dek ketiadaan lesen, para nelayan ini tidak dapat menikmati bantuan daripada kerajaan seperti Elaun Sara Hidup Nelayan.
Namun begitu, bagi mereka bantuan itu tidak lah seberapa jika dibandingkan dengan keselamatan diri.
"Sampai sudah bertukar-tukar kerajaan, semua benda itu pun tak tahu (apa masalah).. sekatan ke, atau peruntukan daripada atas sana (kerajaan). Benda bila keluar lesen kan melalui peruntukan," kata Mohd Aris Ali, yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan.
"Kita takut kepada penguatkuasaan kalau ada anggota Maritim datang periksa bot.
"Lepas itu kalau kita bergaul dengan orang yang ada lesen, jadi itu mungkin menyebabkan pada yang ada lesen ini, kita satu kesalahan," tambah Mohd Aris lagi.
Khir dan Mohd Aris hanyalah suara beberapa nelayan yang berdepan nasib itu.
Tetapi harapan mereka mewakili semua nelayan yang masih berteka-teki tentang percaturan hidup mereka sebagai pelaut.
"Harapannya cepatkan lah bagi lesen sebab ramai sangat susah (bila) tiada lesen nanti.
"Bukan kerana subsidi atau apa (bantuan lain), tetapi ia seperti keperluan kerana ada insurans dan sebagainya," ujar Mohd Aris.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit akan menyaksikan saingan empat penjuru.
Ia melibatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi , Khairuddin A Rahim (PKR), Mohd Huzair Lajis (Perikatan Nasional) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir Parti Pejuang Tanah Air.
#PRN Johor #Nasib nelayan #Nelayan tiada lesen #berita Malaysia
;