PRN Johor: Najib Lep sudah 'dirisik'? Ini jawapan calon Bebas DUN Bukit Pasir

Hasimi Muhamad
Mac 4, 2022 12:42 MYT
Najib satu-satunya calon Pas yang menang pada PRU14, dan dipilih sebagai Ahli DUN Bukit Pasir dengan kemenangan majoriti 1,883 undi - Foto/Facebook Najib Lep
PAGOH: Populariti penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep dilihat semakin melonjak selepas dia membuat keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Najib ketika ditemui Astro AWANI mengakui masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti, jika dia memperoleh kemenangan di DUN tersebut pada 12 Mac ini.
"Bila berada di wadah perjuangan dan kita nak menuju ke sesuatu tempat itu, kita mesti mempunyai 'kenderaan' kita kan... Kita mesti mempunyai rumah tetapi peringkat awal ini, saya tidak memikirkan perkara itu (sertai parti lain).
"Jadi kenderaan yang saya ada ini (sebagai Bebas) dengan keluarga yang saya ada di Bukti Pasir, saya begitu yakin dengan Bebas dan saya boleh berdaya maju dan untuk masuk ke parti lain itu saya tidak boleh nak komen lagi," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
BACA: Bertanding atas tiket Bebas, Najib Lep yakin kekal menang di DUN Bukit Pasir
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya ada mana-mana parti yang sudah mula 'merisik' dirinya selepas tidak lagi bersama Pas.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai berkata, keahlian Pas Najib gugur secara automatik kerana keputusan beliau bertanding atas tiket Bebas adalah bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.
Najib satu-satunya calon Pas yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan dipilih sebagai Ahli DUN Bukit Pasir dengan kemenangan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, bekas pesara tentera itu berkata dia bagaimanapun bersedia mempertimbangkan sebarang pelawaan jika ia melibatkan kepentingan pembangunan dan rakyat di kawasan DUN Bukit Pasir.
"Kalau ditakdirkan selepas beberapa faktor yang menyebabkan saya perlunya ada kenderaan yang kukuh, untuk pergi jauh lagi, dan why not (kenapa tidak) dari segi sudut kebaikan masyarakat tersebut.
"Saya bukan ambil kategori melompat, saya ambil kepentingan rakyat itu perlu diberikan keutamaan dan selepas itu macam mana untuk lebih maju," tambahnya lagi.
Kenapa Masih Bertanding di DUN Bukit Pasir?
Dalam pada itu, Najib berkata keputusannya untuk kekal bertanding di DUN Bukit Pasir walaupun atas tiket Bebas kerana kehendak rakyat di kawasan itu.
Katanya, berdasarkan dapatan daripada penilaian prestasi sepanjang bergelar wakil rakyat, sekurang-kurangnya 80.9 peratus pengundi di DUN Bukit Pasir mahukan dia terus berkhidmat.
"Jadi mungkin ada yang berkata saya dan pegawai khas saya, dia (rakyat) pun tak pernah nampak cara kerja seorang ADUN yang sebelum ini dan sekarang saya membawa satu gerak kerja (yang lebih baik), dan saya pun tak tahu kenapa mereka mengulas begitu.
"Gerak kerja yang berlainan dan rata-rata masyarakat mengatakan mereka selesa dengan kaedah yang dibawa untuk mensasarkan apa yang diehendaki. Jadi saya berpegang kepada kehendak rakyat (dan ambil keputusan) bertanding dalam Bebas.
"Parti memang nak menolak saya atas sebab-sebab yang saya telah nyatakan sebelum ini. Jadi, itu antara perkara yang saya fikir perlu dibawa dan saya memegang permintaan yang begitu tinggi daripada rakyat DUN Bukit Pasir supaya kekal bertanding di sini," jelasnya lagi.
Johor Memilih | Najib Lep sudah ‘dirisik’ parti lain?
Ditanya apakah dia sedih selepas 'disisihkan' oleh parti sendiri, Najib berkata pengalamannya berkhidmat sebagai pegawai tentera dan bergiat dalam sektor swasta serta perniagaan telah menjadikannya lebih matang untuk berdepan dengan pelbagai situasi.
Tegas Najib, dia perlu berpandangan positif dan melupakan perkara yang berlaku demi perjuangan membela nasib rakyat.
"Kalau ditanya perasaan dalam diri saya sendiri sebagai orang yang dikehendaki bertanding dalam tiket parti, yang sebelum ini diminta-minta sangat untuk bertanding sehingga saya bertanding, rezeki Allah berikan dan saya menang.
"Tetapi bila masuk untuk diteruskan lagi kerjaya dalam politik ini, tetiba parti melihat benda yang lain, saya pun tak berapa faham (keputusan parti), jadi perasaan hati itu memang rasa pilu dan rasa tidak boleh terima.
"Tetapi hakikatnya kita kena berbalik kepada, kita tidak boleh putus asa. Kita kena terus 'move on' supaya matlamat yang kita nak perjuangkan dan rakyat yang kita bela selama ini kita dapat teruskan.
"Kalau kita rasa pilu, sebak dan membawa perasan kita yang begitu dukalara, jadi tidak pernah ada kesudahan," luahnya.
Najib, yang bertanding atas logo pen akan berdepan Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (Pakatan Harapan), Muhd Nur Iqbal Abd Razak (Perikatan Nasional) dan Johar Siraj (Bebas).
#PRN Johor #Najib Lep #Politik Malaysia #DUN Bukit Pasir
;