PRN Johor: Najib bidas Anwar, tegaskan zaman BN jauh lebih baik

Hilmi Malik
Mac 3, 2022 15:55 MYT
Najib berkata, pelabur tak akan melabur di negeri yang tidak stabil. - Gambar/ Astro AWANI
MERSING : Gesaan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bertujuan untuk menstabilkan kerajaan di negeri itu, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.
Ujarnya lagi, urusan kerajaan akan terganggu sekiranya sesebuah kerajaan negeri itu tidak mempunyai majoriti selesa.
“Bagaimana kerajaan nak berfungsi kalau tiada majoriti mudah, susah kita nak luluskan rang undang-undang dan belanjawan baru-baru ini pun terpaksa dilakukan secara undi.
“Bila kerajaan tak stabil kita tak boleh rancang untuk rakyat dan pelabur pun tak yakin pada kita jadi kenapa mereka nak melabur di negeri yang tak stabil,” katanya ketika ditemui di majlis makan malam bersama jentera parti di Air Papan pada malam Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan PRN Johor terpaksa dilaksanakan kerana kerakusan BN.
SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pekan itu juga menyatakan bahawa kerajaan negeri Johor berada dalam kedudukan yang cemerlang sewaktu zaman pemerintahan BN.
Malah katanya lagi, BN juga mempunyai rekod yang lebih menyerlah dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.
Najib Razak pada masa sama turut membidas kenyataan Anwar yang kononnnya BN terlalu mabukkan kuasa dengan gesaan untuk mengadakan PRN Johor.
“Semua orang tahu zaman BN memerintah kebajikan rakyat jauh lebih baik, sekarang rakyat boleh nilai... kalau kita tanya pun, zaman BN memang yang terbaik soal kebajikan rakyat.
“Kalau nak adakan PRN sebab kita mabukkan kuasa sebenarnya tak benar... kalau nak kenal seseorang itu, kita tengok apa yang dia janji pun jauh berbeza dengan apa yang dia buat, macam ‘jauh panggang daripada api,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis itu ialah calon BN bagi DUN Endau, Youzaimi Mohd Yusof serta calon BN DUN Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy.
#Najib Razak #PRN Johor #Johor Memilih #Mersing