PRN Johor: Mukhriz kecewa ada pihak perkenal Tun M sebagai pengerusi parti lain
Nickyson Nyambar
Februari 8, 2022 22:25 MYT
Februari 8, 2022 22:25 MYT
KUALA LUMPUR : Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir kecewa apabila ada sesetengah pihak yang memperkenalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi parti politik lain dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menegaskan, bapanya, Tun Dr Mahathir masih lagi Pengerusi Pejuang dan tidak sama sekali terlibat dengan parti-parti lain.
"Satu perkara yang ingin saya nyatakan adalah rasa kecewa saya abila menerima laporan bahawa ada pihak-pihak daripada Perikatan Nasional (PN) yang memberitahu beberapa orang di Johor sewaktu mereka memperkenalkan PN kepada pengundi-pengundi di sana kononnnya pengerusi PN adalah Tun Mahathir.
"Jadi hendak saya jelaskan di sini, bahawa Tun Mahathir adalah Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air dan tidak terlibat langsung dengan PN, tidak juga dengan Pakatan Harapan (PH), jauh sekali Barisan Nasional (BN).
"Kita bersendirian buat waktu ini dan Tun adalah Pengerusi Pejuang bukan daripada PN," tegasnya dalam sidang media selepas Mesyuarat 'Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir' pada Selasa.
Beliau pada masa sama turut memaklumkan bahawa buat masa ini parti itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bergabung mahupun membentuk sebuah gabungan tersendiri dalam berhadapan pilihan raya negeri itu.
Bagaimanapun, pihaknya tidak terhad untuk berbincang mengenai kerjasama politik yang boleh memanfaatkan dua belah pihak.
"Sebenarnya, seperti mana yang telah kita sebut sebelum ini, ianya masih lagi dalam pertimbangan tetapi pada ketika ini kita masih lagi berdiri solo dan kita tidak menyertai mana-mana gabungan dan kita tidak menubuhkan gabungan kita sendiri.
"Calon-calon kita akan bertanding atas tiket Pejuang dan pada masa yang sama, saya akui (telah melakukan) perbincangan yang dimulakan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
"Maka dengan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memang kita ada (melakukan) perbincangan, belum lagi dimuktamadkan apa bentuk kerjasama politik ataupun apa bentuk kerjasama lain yang kita boleh letak sewaktu PRN ini dan saya harap kalau menjadi, kita boleh membuat pengumuman dalam masa yang terdekat ini.
"Tetapi dengan pihak yang lain tiada perbincangan yang betul-betul mendalam seperti Pakatan Harapan (PH) sebagai contoh.
"Jadi saya tahu PH pernah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai 'khemah besar' tetapi pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita dibawah lambang PH atau 'khemah PH' yang dinyatakan tadi," jelas beliau.