PRN Johor: Muhyiddin ketandusan kecerdasan - Khaled Nordin
Sinar Harian
Februari 12, 2022 13:28 MYT
Februari 12, 2022 13:28 MYT
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai individu yang 'ketandusan kecerdasan' apabila terus menjadikan istilah 'kluster mahkamah' ciptaannya sendiri untuk menyerang pemimpin UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sedangkan tiada seorang pun yang digelar ‘kluster mahkamah’ itu akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atau mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri itu.
"Saya kasihan benar dengan Presiden Bersatu ini. Benar-benar beliau ketandusan kecerdasan. Siang dan malam, tidur tak lena, mandi tak basah kerana dibayangi dengan 'kluster mahkamah'.
"Rupanya penglibatan Bersatu dalam PRN Johor hanya untuk menentang 'kluster mahkamah'. Tiada rencana konkrit, lakaran masa depan dan cita-cita yang segar," katanya dalam hantaran Facebook pada Sabtu.
Catatan di laman sosial Mohamed Khaled itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Muhyiddin yang mendakwa satu-satunya cara untuk menghalang 'kluster mahkamah' daripada kembali berkuasa ialah dengan mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor.
Mohamed Khaled dalam masa sama turut mengingatkan bekas Perdana Menteri itu untuk tidak mengheret rakyat Johor ke kancah ketidaksukaan beliau terhadap tokoh tertentu.
Jelasnya, keutamaan rakyat Johor ketika ini adalah memilih kerajaan yang stabil dan boleh memulihkan semula ekonomi negara selepas dilanda pandemik Covid-19 sejak lebih dua tahun lalu.
"Bekas Perdana Menteri kelapan sedang berhadapan dengan krisis paling besar dalam perjalanan politik beliau. Setelah kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, tewas di Melaka, gagal bertapak di Sarawak, kecundang dalam usaha memikat kerjasama dengan UMNO, beliau kini hanya ada Pas sebagai sandaran.
"Ini kerana dari sehari ke sehari, semakin ramai pimpinan dan ahli Bersatu keluar meninggalkan parti. Karma talkin beliau terhadap UMNO kembali menghantui Bersatu. Semuanya ciptaan beliau sendiri, bukan orang lain," katanya.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN