PRN Johor: Muhyiddin enggan pandang rendah kemampuan MUDA

Hasimi Muhamad
Februari 23, 2022 14:44 MYT
Terserah kepada pengundi di Johor untuk menilai parti baharu pimpinan Syed Saddiq pada PRN 12 Mac ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail BERNAMA
JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) tidak mahu memandang rendah kepada keupayaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berhasrat meletakkan calon di kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya sebelum ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya berkata, terserah kepada pengundi di Johor untuk menilai parti baharu yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.
"Dia (MUDA) berani... dia nak menawarkan muka baharu bertanding, itu terserah kepada pengundi. Saya tak nak 'underestimate' tetapi pastinya parti ini baharu, dia tak dilihat terkesan (kerana) belum lagi ada tanda-tanda perjuangan yang nak diukur oleh rakyat.
"Jadi terserah kepada pengundi untuk memikirkan sama ada mereka ini layak atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra Warga Felda di Felda Taib Andak di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, selaku parti baharu, MUDA juga dilihat masih tidak berstruktur.
"MUDA terlalu muda... Syed Saddiq itu macam anak saya. Dulu dia dalam Armada Bersatu. Tetapi tak apa itu hak dia (Syed Saddiq)… dalam sistem demokrasi, dia nak bentuk muda ke tua, itu hak dia.
"Tetapi yang pasti dia (MUDA) tiada ahli yang ramai, sedikit sahaja. Cawangan dan bahagian pun tak tahu dekat mana," tambah Muhyiddin.
[LAPOR LANGSUNG] PRN Johor: PN utamakan calon tempatan
Ditanya mengenai calon PN yang dijangka diumumkan esok, Muhyiddin berkata, gabungan yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan itu akan menampilkan calon muda yang berpengalaman.
Enggan memperincikan dengan lebih jelas, beliau berkata, calon-calon yang ditampilkan di 56 kerusi DUN akan diisi oleh mereka yang berkelulusan dan berkelayakan tinggi.
"Ini saya akan umumkan nanti (24 Februari) dan pastinya ada calon muda, ada calon wanita... (calon) muda lelaki dan berpengalaman.
"Kombinasi pengalaman dan muda penting, yang boleh menggambarkan persediaan PN untuk membentuk kerajaan. (Mereka) ada kelulusan dan kelayakan yang tinggi. Ada (dalam kalangan menjawat sebagai) peguam dan doktor," katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berharap prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Johor dipertimbangkan semula bagi memberikan sedikit lagi kelonggaran kepada parti-parti dalam memperkenalkan calon masing-masing.
Ujarnya, SOP yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan agak ketat, tetapi tidak memadai untuk tempoh dua minggu berkempen.
#PRN Johor #muda #Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin
;