PRN Johor: Muhyiddin diperkenan menghadap Sultan Johor

Firdaus Azil
Februari 23, 2022 14:28 MYT
Menurut satu kenyataan ringkas, pertemuan Sultan Johor dengan bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu itu telah berlangsung selama satu jam. - Sumber foto Parti Bersatu
JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah diperkenan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini.
Menurut satu kenyataan ringkas, pertemuan Sultan Johor dengan bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu telah berlangsung selama satu jam.
Setakat ini, tiada perincian mengenai perbincangan antara Tuanku dan Muhyiddin.
Untuk rekod, Sultan Ibrahim sebelum ini telah menerima menghadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 22 Januari lepas.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI
Sumber mendedahkan kepada Astro AWANI, Ahmad Zahid sekali lagi telah diberi perkenan untuk menghadap Tuanku Sultan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan politik di peringkat nasional dan negeri.
Antara yang diperkenan untuk menghadap Tunku Ismail ialah Pengerusi Lembaga Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, dan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
#Johor Memilih #Muhyiddin Yassin #Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar #Perikatan Nasional
;