PRN Johor: Mudahkan undi pos, tetapkan hari mengundi pada Sabtu - Mukhriz
Firdaus Azil
Februari 5, 2022 21:55 MYT
Februari 5, 2022 21:55 MYT
JOHOR BAHRU: Parti Pejuang Tanah Air mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memudahkan proses pendaftaran dan pengundian pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu kenyataan malam ini, presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu amat penting memandangkan terdapat hampir 100,000 pengundi Johor yang berada di Singapura ketika ini.
Kemudahan kaedah pengundian pos, jelas Ahli Parlimen Jerlun itu, harus mengambil kira penghantaran kertas undi dengan mudah, telus dan menepati masa untuk sampai ke pusat-pusat pengiraan undi.
“Keupayaan untuk mereka pulang mengundi tentunya terhad lebih-lebih lagi jika mereka sudah pulang bercuti sewaktu perayaan Tahun Baharu Cina awal minggu ini.
“SPR tentunya faham bahawa kegagalan untuk mempermudahkan undian kepada begitu ramai pengundi yang berada di seberang Selat Tebrau merupakan satu penafian hak mereka sebagai rakyat dan menjejas demokrasi yang kita dukung bersama,” katanya lagi.
Mukhriz berkata, segala usaha perlu dibuat bagi mencapai jumlah peratusan keluar mengundi yang tinggi, supaya Kerajaan Johor yang bakal terbentuk nanti benar-benar mendapat mandat golongan teramai dalam kalangan Rakyat Johor.
Pada 2 Februari lepas, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pengundi Johor yang bekerja di Singapura boleh memohon untuk menjadi pengundi pos pada PRN Johor tidak lama lagi.
Beliau berkata, pengundi terbabit boleh mengemukakan permohonan dalam tempoh yang akan dimaklumkan SPR selepas mesyuarat khas berhubung PRN berkenaan pada 9 Februari ini.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, SPR juga perlu lebih agresif dalam membuat hebahan melalui media perdana dan sosial bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengundi baharu akan hak dan kepentingan mereka untuk mengundi nanti.
Selain itu, katanya lagi, Pejuang ingin menyarankan agar hari mengundi diadakan pada Sabtu, supaya tiada keperluan untuk pengundi mengambil cuti bagi menunaikan tanggungjawab.
Mukhriz berkata, Pejuang turut berpendapat calon-calon perlu diberi peluang menyantuni rakyat di lapangan dengan SOP yang jelas dan adil kepada semua pihak.
“Ini bagi memastikan semua parti dapat berkempen secara berkesan, dan tiada mana-mana parti yang menggunakan kedudukan mereka untuk memonopoli atau mengawal media arus perdana hingga mengakibatkan laporan yang berat sebelah dan tidak menyeluruh.
“Keupayaan untuk calon dan jentera kempen menyantuni rakyat dan menerangkan mengenai parti mereka adalah penting supaya pengundi membuat keputusan berdasarkan fakta.
“Jangan dibenarkan pihak-pihak yang punyai kepentingan politik memesongkan demokrasi dengan memaksa agensi kerajaan bertindak secara tidak demokratik,” tegasnya lagi.
Mukhriz berkata, PRN Johor perlu berlangsung dengan teratur dan adil bagi semua pihak dan Pejuang yakin SPR mampu memikul tanggungjawab itu supaya sistem demokrasi negara ini, terlihat lebih cekap dan telus.