PRN Johor: MUDA hormati proses rundingan dengan PKR, tampil calon berkarisma di Larkin
Hasimi Muhamad
Februari 27, 2022 14:45 MYT
Februari 27, 2022 14:45 MYT
PAGOH: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sekali lagi menegaskan pihaknya menghormati proses rundingan yang dibuat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam meletakkan calon termasuk di kerusi N.44 Larkin.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan dibuat sehingga minit-minit terakhir sebelum PKR menamatkan rundingan berkenaan dengan mengumumkan calon-calon mereka.
Ahli Parlimen Muar itu menambah, calon MUDA di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Rasid Abu Bakar juga adalah seorang yang sudah lama berkhidmat di kawasan itu dan perlu diberi peluang untuk diketengahkan.
"Saya nak tampilkan calon-calon sebegini yang kuat bekerja dan kuat berkhidmat supaya rakyat diberikan pilihan untuk memilih.
"Saya faham mungkin Keadilan ada katakan pandangan mereka, tetapi dalam semua proses rundingan kita cuba runding sampai ke minit-minit terakhir dan kita lihat Keadilan sudah tamatkan rundingan pada minggu lepas, awal umumkan (calon mereka). Tetapi kita tidak dan kita menghormati proses tersebut.
"Tetapi tak apa kita akan ketengahkan calon ini... ini calon MUDA yang kuat berkhidmat, teknokrat (profesional) dan saya berharap orang Larkin berikan peluang kepada saudara Rashid untuk berkhidmat kepada anda," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Ahad.
DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, MUDA, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kekecewaan dengan pertembungan yang berlaku antara PKR dan MUDA di kerusi DUN Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Mengulas mengenai pertembungan tersebut yang dikatakan memberi kelebihan kepada UMNO, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan calon mana yang betul-betul boleh memberikan khidmat terbaik.
Bagaimanapun, sebagai parti 'underdog', Syed Saddiq berkata, MUDA akan bekerja lebih keras untuk membuktikan kelebihan parti pimpinannya itu.
"Sebab kalau setakat kita kata ini adalah UMNO, kerusi itu adalah milik rakyat. Ia tidak milik mana-mana parti politik.
"Kalau kita lihat strategi di Melaka contohnya, MUDA tidak masuk campur, parti Pejuang juga tidak masuk campur.
"Pembangkang adalah pembangkang yang berpadu tetapi reaksi rakyat tetap sama. Sebab itu dalam bab ini MUDA mahu membawa pembaharuan dan MUDA ingin mencalonkan pemimpin-pemimpin tempatan yang terkenal, kuat bekerja dan MUDA juga tidak angkuh nak pergi fokus 30 atau 40 kerusi, hanya tujuh sahaja kerana ini permulaan bagi kita," tambahnya.
Ditanya kemungkinan MUDA akan bergabung dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan di Johor, Syed Saddiq berkata, parti itu tidak memandang kepada jawatan.
Sebaliknya, MUDA, katanya akan memastikan proses semak dan imbang tetap berlaku walaupun berada di posisi pembangkang.
"MUDA ingin fokus untuk jadi kerajaan yang berbilang bangsa, agama dan memartabatkan suara rakyat, membawa pembangunan ekonomi dan Johor menjadi negeri maju.
"Jika di kerusi pembangkang, ditawarkan jawatan apa pun, kita nak fokus jadi pembangkang yang berpadu, yang dapat memastikan bahawa kerajaan tidak kira UMNO atau PN, tetapi kita nak jadi orang yang dapat memastikan sistem semak imbang itu kuat.
"Kita tidak mendambakan jawatan dalam kerajaan semata-mata. Tak salah jadi pembangkang, tetapi kita ingin membuktikan bahawa jikalau kita di pembangkang, kita jadi pembangkang yang berpadu, berkualiti, serta suara semak imbang itu sangat lantang dan kuat," katanya.
PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac ini, manakala undi awal pada 8 Mac.