PRN Johor: MUDA hanya bertanding kerusi dimenangi UMNO, Bersatu
Shuhada Abdul Kadir
Februari 21, 2022 16:51 MYT
Februari 21, 2022 16:51 MYT
SEGAMAT: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan pendirian tidak akan bertanding dikerusi yang dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya, hanya meletakkan calon di kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
Meskipun rundingan agihan kerusi bersama PKR gagal mencapai kata sepakat, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau kekal dengan komitmen untuk tidak ada pertindihan kerusi dengan parti pembangkang.
“Saya telah lihat kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan senarai 20 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mewakili parti itu pada PRN nanti.
“Apa pun komitmen saya sebagai Presiden Muda adalah untuk memastikan bahawa Muda tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi oleh PKR yang mana kalau dilihat kerusi kita tandingi hari ini juga adalah kerusi UMNO dan Bersatu kerana kita mahu bawa perubahan jangka masa panjang, bukan sekadar pada pilihan raya semata-mata,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan tiga lagi calon Muda yang akan dipertaruhkan pada PRN Johor pada 12 Mac ini.
Terdahulu, PKR mengumumkan 20 calon yang akan mewakili parti itu pada PRN Johor, sekali gus menamatkan spekulasi rundingan pembahagian tiga kerusi PKR kepada Muda yang menjadi teka-teki sebelum ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut dilaporkan berkata, meskipun rundingan mengenai pengagihan kerusi sudah tamat antara PKR dan MUDA, namun masih ada ruang untuk kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan dalam menghadapi pilihan raya itu.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar ketika diaju soal pertindihan kerusi bersama parti pembangkang itu berkata, MUDA akan cuba sebaik mungkin untuk mencari kata sepakat dan memberi fokus kepada empat calon yang telah diumumkan setakat ini.
“Cuma komitmen MUDA adalah untuk tidak bertanding di kerusi penyandang, tidak kira DAP, Amanah ataupun PKR kerana kita mahu fokus kerusi yang dimenangi UMNO dan Bersatu,” tambah beliau.
Dalam pada itu, katanya, MUDA juga telah membuat ketetapan untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Johor kelak dan akan mengeluarkan tawaran kepada rakyat negeri itu dalam masa terdekat.