PRN Johor: Mesyuarat khas SPR 9 Feb, tentu tarikh penting

Firdaus Azil
Januari 24, 2022 17:05 MYT
Tarikh mesyuarat itu ditentukan selepas SPR secara rasmi menerima notis dari Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat, berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada Ahad. - Gambar hiasan/ Bernama
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berhubung perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada 9 Februari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, tarikh mesyuarat itu ditentukan selepas SPR secara rasmi menerima notis dari Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat, berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada Ahad.
Ikmalrudin berkata, pembubaran itu adalah selaras dengan Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.
“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRU DUN Johor Ke-15 akan diadakan pada 9 Februari 2022 (Rabu),” katanya lagi.
BACA SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI
Ikmalrudin berkata, mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, selaku Pengerusi SPR.
“Mesyuarat itu akan menyentuh mengenai tarikh-tarikh penting PRU DUN Johor seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya lagi.
#PRN Johor #Johor Memilih #SPR #tarikh penting
;