PRN Johor: "Mestilah saya rindu, takkan tak rindu Johor" - Ayob Khan
Firdaus Azil
Mac 8, 2022 14:21 MYT
Mac 8, 2022 14:21 MYT
JOHOR BAHRU: Bekas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini kembali ke Ibu Pejabat Kontinjen Johor, pejabat yang beliau terajui selama 22 bulan, bermula 24 Februari, 2020.
Namun, hadirnya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu adalah untuk tujuan yang satu, melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini.
Ayob Khan yang tiba di Dewan Dato Onn, IPK Johor sekitar 9.30 pagi itu, memaklumkan kepada media bahawa beliau tidak sempat menukar alamat kerana baharu saja pergi ke Bukit Aman, pada Januari tahun ini.
"Tempoh untuk tukar alamat ini tiga bulan, saya tidak sempat tukar. Sebab itu saya masih lagi di Johor. Lepas ini kita akan tukar,” katanya lagi.
Ditanya mengenai perjalanan pilihan raya menerusi pemerhatian beliau, Ayob Khan berkata, beliau gembira melihat proses berjalan lancar, susulan pelaksanaan SOP sewajarnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
“Alhamdulillah, teratur, tersusun, dan lancar,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau rindu mengenangkan zaman bertugas di selatan tanah air ini, Ayob Khan berkata, "eh. mestilah rindu Johor, takkan tak rindu Johor, dua tahun dekat sini."