PRN Johor: Mersing hab pelancongan? Hanya indah khabar daripada rupa - Penduduk

Hilmi Malik
Mac 1, 2022 19:54 MYT
Mersing lebih sesuai dengan gelaran pusat transit pelancongan ekoran pengunjung yang tidak memilih untuk berada lama di bandar itu kata penduduk. - Gambar/ Wikipedia/ Zul1603
MERSING : Mersing sememangnya menjadi buah mulut orang ramai yang menyifatkan ia sebagai sebuah hab pelancongan yang pasti menjadi tarikan buat pengunjung yang belum pernah menjejakkan kaki di daerah ini.
Bagaimanapun, lain pula realitinya apabila segelintir penduduk setempat mendakwa gambaran itu sebenarnya hanya ‘indah khabar daripada rupa’.
Kata mereka, hanya terkenal dengan gelaran 'hab pelancongan' namun hakikatnya usaha untuk membangunkan Mersing sebagai destinasi pelancongan masih kelihatan samar sejak sekian lama.
Menurut seorang penduduk yang ditemui, Ang Meng Hoe, melabelkan Mersing sebagai kawasan tumpuan pelancong 'di atas kertas' tidak sesuai dengan realiti sebenar apabila melihat kepada pembangunannya.
Sebaliknya, katanya Mersing mungkin lebih sesuai digelar sebagai pusat transit pelancongan sahaja.
“Sebenarnya Mersing ini bukan tempat pelancongan, mana ada orang datang melancong kerana di sini hanya jadi pusat transit untuk orang melancong ke pulau saja.
“Mersing sendiri tiada lokasi yang menarik... adapun cuma satu di Air Papan saja, tengok sendiri keadaan sebenar... di waktu cuti pun jeti kita kosong sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, sekiranya benar seperti apa yang disangkakan atau dirancang pihak berkuasa itu, Mersing telah menjadi kawasan yang pesat membangun hasil daripada pendapatan yang diraih daripada pengunjung.
Namun, katanya keadaan Mersing ketika ini amat menyedihkan apabila pengunjung luar lebih memilih daerah itu sebagai lokasi persinggahan berbanding meluangkan masa beberapa hari di kawasan penghubung pulau itu.
“Kedai makan pun tak nampak pelancong datang, makan semua di pulau dan selesai melancong mereka kembali ke Mersing dan terus pulang.
“Mersing memang ketinggalan lama dah, tiada apa pun yang menarik... setelah puluhan tahun Mersing tak nampak kemajuan,” katanya lagi.
Sementara itu, pandemik COVID-19 juga menambah derita pengusaha pelancongan di Mersing yang menyediakan perkhidmatan membawa pelancong ke pulau.
Keadaan pintu sempadan negara yang belum dibuka, selain tarikan pelancong di Mersing yang sememangnya tiada, jelas memburukkan keadaan.
Itu antara keluhan yang disuarakan pengusaha pelancongan, Shahjehan Sahul Hamid, yang hanya mampu termenung melihat keadaan bot dan feri yang tidak rancak bergerak.
“Kalau dulu kita ada pelancong dari Singapura yang datang tapi sekarang mereka nak masuk pun tak boleh, nak harap orang kita berapa ramai pun yang nak datang.
“Keadaan air pasang surut pun isu untuk kami bila pelanggan sendiri mengeluh terpaksa datang awal pagi untuk naik bot, kalau lambat sikit bot dah tak mampu nak gerak,” luahnya ketika ditemui di Jeti Mersing baru-baru ini.
Tinjauan Astro AWANI pada hujung minggu mendapati keadaan di bandar Mersing juga sunyi daripada kehadiran pelancong dan hanya menyaksikan penduduk tempatan yang berulang alik dengan rutin harian.
Mereka yang ditemui berpendapat, Mersing mempunyai potensi pelancongan sekiranya ada perancangan yang terbaik dan bersungguh-sungguh untuk membangunkannya.
Mersing menjadi pusat transit yang menghubungkan ke pulau-pulau terkenal di kawasan tersebut antaranya Pulau Sibu, Pulau Rawa dan Pulau Tinggi, selain Pulau Tioman di Pahang.
Sebelum ini, kerajaan negeri memaklumkan, usaha untuk memperkukuhkan Mersing sebagai hab pelancongan dilakukan menerusi pelaksanaan projek pelancongan di Tanjung Penyabong.
Ia merupakan pelan holistik kerajaan Johor dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi meningkatkan sosioekonomi perkampungan nelayan itu.
#pelancongan #Mersing #PRN Johor #Johor Memilih
;