PRN Johor: Mengapa MUDA pilihan terbaik untuk Larkin? Ini pandangan Rasid Abu Bakar
Firdaus Azil
Mac 6, 2022 15:45 MYT
Mac 6, 2022 15:45 MYT
JOHOR BAHRU: Tidak termasuk dalam perjanjian asal antara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Pakatan Harapan, namun pada saat-saat akhir, parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu nekad bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.
Ketua Penerangan Muda Johor, Rasid Abu Bakar, ketika ditemui sewaktu hari penamaan calon pada 26 Februari lepas memohon agar jangan diberi fokus kepada pertindihan kerusi antara partinya dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Anak muda berusia 28 tahun itu berkata, hanya satu pertindihan yang berlaku antara dua parti tersebut, iaitu kerusi yang beliau tandingi, dan ia tidak membawa gambaran ada ketegangan antara dua parti berkenaan.
Katanya lagi, jika kemenangan berpihak kepada MUDA atau Keadilan, ia membawa maksud yang sama, kerana mereka berada pada pihak yang sama.
Astro AWANI bertemu dengan Rasid sekali lagi bagi mendapatkan penerangan tentang gerak kerja kempennya, kontroversi bersama PKR, serta komitmennya untuk rakyat di kawasan Larkin.
MEMAHAMI LARKIN
Rasid berkata, Larkin merupakan kawasan urban, di mana konsentrasi kawasan kediaman dalam kategori rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), flat dan sebagainya, agak tinggi.
“Di sini kita lihat bahawa kadar kemiskinan bandar agak tinggi. Perkara yang harus diambil berat oleh wakil rakyat ialah peratusan di kawasan penduduk agak tinggi, memandangkan jumlah pengundi yang layak mengundi ialah 76,000. Keluasan tidak begitu besar, tapi disebabkan kepadatan kerusi itu, maka yang layak mengundi tinggi.
“Di sini beberapa faktor seharusnya kita ambil berat untuk dititikberatkan, contoh di kawasan Larkin, Johor Bahru itu sendiri, kita lihat banyak anak-anak sekolah yang mungkin habis SPM, tidak sambung pelajaran ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.
Sebagai seorang yang tidak mempunyai kelayakan akademik yang agak tinggi, Rasid berkata beliau amat memahami situasi tersebut, dan berpandangan perlu ada komitmen serta keinginan politik untuk memperkasakan golongan tersebut.
“Kalau sekadar berbual kasar, ramai boleh dapat kerja, tapi kita mahukan pekerjaan yang lebih berkualiti, ataupun mereka mempunyai skill set yang cukup untuk mendapat kerja dengan gaji yang sesuai.
“Tapi saya juga faham tak semua orang berpeluang lakukan perkara sama. Jadi adalah sangat penting untuk orang yang ingin wakili golongan ini untuk faham dan tahu kesusahan mereka mereka,” tegasnya lagi.
Formulanya ada di depan mata, kata Rasid lagi, iaitu memastikan golongan tersebut memperoleh peluang pekerjaan dengan pendapatan yang berpatutan, sekali gus meningkatkan peredaran ekonomi di kawasan Larkin itu sendiri.
APA VISI RASID UNTUK LARKIN DAN JOHOR?
Sebagai anak tempatan yang amat memahami persekitaran ekonomi di kawasan ini, Rasid berkata, ada industri sedia ada boleh diperkasakan membentuk ekonomi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Sebagai contoh, kita ada Pelabuhan Stulang, Puteri Harbour dan sebagainya. Juga tidak kurangnya selama ini banyak medical tourist, orang luar buat rawatan di hospital swasta, dan pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk bercuti dan melancong.
“Kalau perkasakan industri pelancongan perubatan, banyak hospital dibuka, sekitar Johor Bahru sendiri. Kalau kita perkasakan industri ini sendiri, dapat create new jobs, home stay, restoran, pengunjung. Industri F&B juga akan lebih rancak, sekali gus lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Di peringkat yang lebih besar, Rasid berkata, pelbagai insentif boleh diberikan untuk menarik lebih banyak pemain industri luar, untuk memasuki pasaran di kawasan ini.
“Kita harus melihat ke arah pengkomersialan. Kalau kita perhatikan, sepanjang tempoh 20 tahun lalu, pembangunan agak pesat, tapi konsentrasi hanya kepada projek hartanah dan perumahan.
“Bila ada industrialisasi, boleh tingkatkan lagi ekonomi yang selama ini agak perlahan. Dan cara ini saya rasa lebih baik,” katanya lagi.
MENGAPA PERLU MUDA, BANYAK LAGI PARTI LAIN ADA?
Mengulas mengenai mengapa MUDA harus dijadikan sandaran untuk perubahan, Rasid berkata, parti itu merupakan parti yang ‘overly democratic’.
Setiap keputusan atau dasar yang ingin diluluskan parti, harus melalui proses perbincangan di setiap lapisan kepimpinan.
“Apabila kami bincangkan, walaupun perbincangan agak ekstensif (agak panjang), kerana orang dari latar belakang berbeza akan melontarkan pandangan, resolusi akhir ialah resolusi seimbang, (ambil kira) hampir kesemua kelompok.
"Ini saya ceritakan, bila berbual pasal ‘perwakilan demokratik’, dalam parti kita praktik perwakilan demokratik itu sendiri. Kita akan terjemahkan dalam tanggungjawab kita sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan sebagainya,” katanya lagi.
ADAKAH MUDA ITU ‘DISRUPTING’?
Rasid berkata, beliau agak gembira apabila sebuah parti yang baharu menyertai proses demokrasi seperti MUDA, dapat mengubah sedikit sebanyak landskap politik negara.
Mengakui pelbagai kontroversi melanda parti, baik dari segi pendaftaran, proses rundingan di PRN Melaka dan PRN Johor, membawalah kepada pertindihan kerusi. Namun bagi Rasid, itu menunjukkan demokrasi sedang berjalan.
“Saya gembira lihat MUDA sedikit sebanyak ubah landskap politik. Perkara ini adalah perkara yang sepatutnya berlaku sejak 20 atau 30 tahun lepas. Tetapi masih ada masa untuk pastikan agenda perubahan ini berlaku,” katanya lagi.
Rasid berkata, mungkin ideologi MUDA masih menjadi perbincangan dalam kalangan orang luar, namun ia bukan halangan untuk mereka bergerak ke hadapan, dan seterusnya menjadi peneraju dalam memacu pembangunan negara.
DUN N40 LARKIN
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru dari pelbagai parti yang bertanding, termasuk Rasid dari MUDA sendiri.
Berikut merupakan senarai calon yang bertanding di DUN tersebut:
- Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang)
- Muhammad Rasid Abu Bakar (MUDA)
- Dr Zamil Najwah Arbain (PKR)
- Zulkifli Bujang (PN-Bersatu)
- Norramadan Buan (Bebas/IND)
- Mohd Hairi Mad Shah (BN-UMNO)
Pada pilihan raya umum yang lepas, calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd Izhar Ahmad berjaya menewaskan calon BN, Datuk Yahya Jaafar dan Zakiah Tukirin (Pas) dengan majoriti 8,599 undi.