PRN Johor : Medan ujian kehendak pengundi muda - Annuar
Shuhada Abdul Kadir
Januari 29, 2022 19:58 MYT
Januari 29, 2022 19:58 MYT
PAGOH: Keputusan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya diperlekehkan, sebaliknya, harus dilihat sebagai medan ujian dalam menentukan kehendak pengundi muda.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak harus diberikan peluang lebih-lebih lagi apabila sesebuah parti politik itu sudah berdaftar secara sah.
Katanya, mengambil contoh kejayaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, UMNO juga akan membuka lebih banyak peluang kepada calon orang muda yang akan digabungkan dengan pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dalam landskap politik.
“Saya percaya seperti kita tengok di Melaka, orang muda akan diberi peluang seluasnya pada PRN Johor dan UMNO adalah parti yang sentiasa memberi peluang itu yang mana saya sendiri jadi calon ketika berumur 28 tahun.
“(Jadi) kita harus mengalu-alukan penyertaan (Muda) kerana kalau tidak dia hanya ‘berbunyi’ tetapi tidak diberi peluang untuk menguji kehadiran mereka sebagai sebuah parti politik yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis minum petang bersama UMNO Bahagian Bakri di Dewan Seri Pekembar di sini, pada petang Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengulas keputusan parti Muda untuk menyertai gelanggang PRN Johor sekali gus menyaksikan penyertaan pertama parti itu dalam pilihan raya.
Dalam pada itu, tegas Annuar, UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh terlalu meletakkan keyakinan tinggi sehingga mengabaikan strategi dalam meraih undi rakyat negeri Johor.
“UMNO mengambil setiap pilihan raya itu sebagai penting dan mustahak kerana selagi rakyat membuat keputusan dalam peti undi, kita jangan buat gambaran terlalu yakin (menang)… itu tidak baik.
“Saya yakin UMNO akan menampilkan cukup bilangan (calon muda) tetapi tidak boleh semua orang muda, orang tak berapa muda yang cukup pengalaman juga akan dicalonkan yang mana akan ada gabungan serta adunan yang seimbang,” tambah beliau lagi.