PRN Johor: Mazlan Bujang keluar parti, mana maruah dia? - Muhyiddin
Shuhada Abdul Kadir
Januari 27, 2022 15:49 MYT
Januari 27, 2022 15:49 MYT
PAGOH: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan dibuat Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang tidak menjejaskan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Malah jelasnya, langkah berkenaan tidak memberi kesan apa-apa kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun terbubar.
“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.
“Dia nak (masuk) UMNO? Dia fikir UMNO akan lantik (calonkan) dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, itu cerita lain.
“Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN) ? Kenapa tidak 200,000 orang?,” selorohnya.
Beliau terdahulu mengulas tindakan Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putri Wangsa yang mengumumkan melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Mengulas lanjut ujar Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mazlan tidak seharusnya mengambil langkah berkenaan memandangkan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor itu juga memegang jawatan kanan dalam kerajaan negeri.
“Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai Exco dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan dimanakah pendirian dia?
“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” tegasnya.
Mazlan meletak jawatan Ketua Bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Mazlan berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, bagaimanapun beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).