PRN Johor: Masa depan karier politik Chin Tong mungkin dalam bahaya?

Firdaus Azil
Februari 23, 2022 14:56 MYT
Percaturan itu, menurut sumber telah menjadikan Liew sangat tidak popular di peringkat akar umbi DAP Johor, malah menerima tentangan daripada pimpinan pusat sendiri termasuk dari Loke sendiri. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Percaturan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini mungkin akan memberi kesan terhadap karier politiknya di masa akan datang.
Astro AWANI difahamkan, strategi dalam meletakkan calon di 14 kerusi DUN Johor, serta prestasi parti dalam PRN Johor, akan dinilai dengan mendalam, terutamanya menjelang pemilihan jawatankuasa pusat DAP penghujung Mac ini.
Seorang sumber yang rapat dengan kepimpinan DAP memberitahu Astro AWANI, percaturan beliau sebagai seorang strategis parti dalam PRN ini, seakan-akan memperjudikan masa depan politik bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.
Sumber itu turut berkata, Chin Tong sebelum ini telah diarahkan untuk bertanding dalam PRN Johor, namun bekas Ahli Parlimen Kluang itu seolah-olah berat hati untuk berbuat demikian, ekoran desas-desus kempennya mungkin berdepan "sabotaj" oleh pihak tertentu.

Liew Chin Tong's strategy for #JohorMemilih could put him in danger, a source told me earlier. The remaining seats yet to be announced for DAP are Skudai and Perling. He could face internal sabotage due to the conflict before. #JohorMemilih pic.twitter.com/8vSYVfD32H

— Firdaus Azil (@FirdausAzil) February 23, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Chin Tong sedang bermain permainan yang bahaya dan sedang memperjudi masa depan politiknya. Terutama sekali peluang untuk kekal menjadi pilihan perwakilan untuk menganggotai CEC. Dia juga sedang menambah "musuh politik" apabila menggugurkan beberapa orang daripada senarai calon.
"Beberapa muka baharu yang dijadikan calon payung terjun bakal berdepan jalan sukar dengan kebarangkalian tinggi disabotaj anggota akar umbi parti. Ini termasuk Chin Tong sendiri yang hampir pasti bertanding di DUN Perling,” menurut sumber itu lagi.
Sumber itu berkata, persepsi yang bermain di akar umbi ialah Chin Tong seakan-akan lebih mengutamakan calon parti lain daripada bakat yang dimiliki parti sendiri.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan, Chin Tong hampir pasti akan membuat kemunculan bagi kerusi DUN Perling.
BACA: PRN Johor: Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong bakal ke DUN Perling
BACA: PRN Johor: Maszlee bakal calon MB Pakatan Harapan, mungkin bertanding di DUN Layang-Layang - Sumber
Seorang lagi sumber mendedahkan, beliau diarahkan oleh kepimpinan pusat untuk bertanding di peringkat Negeri.
Bagaimanapun difahamkan, Chin Tong seperti tidak bersedia untuk bertanding di peringkat Negeri, memandangkan beliau mungkin menerima tentangan dari kumpulan yang menyokong calon yang beliau sendiri gugurkan sebelum ini.
Kepimpinan Chin Tong, baru-baru ini menjadi bahan bualan apabila beliau didakwa bertelagah dengan beberapa penyandang kerusi DUN, terutama sekali penyandang DUN Skudai, Tan Hong Pin.
Empat penyandang kerusi yang lain ialah Ee Chin Li (Tangkak), Ng Yak Howe (Bentayan), Yeo Tun Siong (Pekan Nanas) dan Cheo Yew How (Perling).
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam wawancara khas bersama portal Malaysiakini hari ini, dilaporkan sebagai berkata, dakwaan bahawa Chin Tong mahu menyingkirkan Tan bersama empat penyandang DUN yang lain, adalah tidak berasas.
Setakat hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah selesai mengumumkan 12 daripada keseluruhan 14 kerusi yang diperuntukan kepada parti itu melalui perjanjian dengan komponen Pakatan Harapan yang lain.
Dua lagi kerusi yang masih menjadi tanda tanya ialah Skudai dan Perling.
Semalam, warganet di laman sosial Twitter memulakan tanda pagar #ManaMarina sebagai respon terhadap kelewatan mengumumkan pencalonan Setiausaha Publisiti DAP Johor, Marina Ibrahim oleh kepimpinan negeri yang diterajui Chin Tong.
Marina, sebelum ini dipercayai telah dijanjikan kerusi DUN Layang-Layang, sebelum kerusi tersebut diserahkan kepada PKR, yang seterusnya mencalonkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.
Seorang lagi aktivis parti yang enggan dinamakan memberitahu Astro AWANI, Marina telah dipindahkan ke Bukit Permai dan hampir membuka bilik gerakan sebelum kerusi itu pula diserahkan kepada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)
Percaturan tersebut, menurut sumber telah menjadikan Chin Tong sangat tidak popular di peringkat akar umbi DAP Johor, malah dipercayai menerima tentangan daripada pimpinan pusat sendiri termasuk dari Loke sendiri.
"Kami percaya Anthony sedang bergerak untuk menyekat kemaraan Chin Tong dalam pemilihan akan datang. Anthony jelas kelihatan memihak kepada kumpulan yang sedang memusuhi Chin Tong,” tambah aktivis itu.
#Johor Memilih #DAP Johor #Liew Chin Tong #sabotaj
;