PRN Johor: Manifesto BN sentuh segenap lapisan masyarakat - Dr Adham

Firdaus Azil
Februari 6, 2022 18:51 MYT
Dr Adham Baba berkata, penyediaan manifesto berkenaan juga berdasarkan aspirasi yang boleh memenuhi citarasa setiap lapisan pengundi Johor. - Gambar/ Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah berdasarkan lima objektif utama, yang bakal merangkumi kesemua aspek kehidupan untuk pelbagai lapisan umur.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penyediaan manifesto berkenaan juga berdasarkan aspirasi yang boleh memenuhi cita rasa setiap lapisan pengundi di negeri ini.
Jelas Ahli Parlimen Tenggara itu lagi, golongan pengundi yang baharu, termasuk mereka yang didaftarkan secara automatik juga akan dirangkumkan dalam aspirasi manifesto itu.
“Terutama sekali kepada golongan yang baru mendaftar automatik, dan pertama kali mengundi. Tentu sekali kita hidangkan dengan matlamat yang boleh memenuhi citarasa dan juga harapan mereka.
“Kita akan umumkan manifesto ini dengan garis panduan yang memikirkan bahawa, kita tidak tinggalkan mana-mana pihak dalam pengurusan, dan juga menjadikan keputusan pilihan raya ini memihak kepada kerajaan kita mahukan, iaitu kukuh, stabil, dan berkesan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra bersama petugas media sempena PRN Johor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Adham, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, beliau berasakan jangkitan COVID-19 di Johor akan terkawal, berdasarkan pengalaman pilihan raya di Chini, Melaka, dan Sarawak.
“Jadi kita lebih yakin kali ini, dengan adanya vaksin yang telah diberikan sebagai pelindung, pihak berkuasa dalam kendalikan SOP ini, dan juga SPR, tentu sekali akan melindungi pengundi itu, daripada terjejas dengan jangkitan.
“Jadi saya yakin persiapan SPR terhadap kaedah dan juga cara tempat mengundi itu, akan sekali lagi kita lihat bertepatan dengan unsur-unsur beri perlindungan kepada masyarakat di Johor,” katanya lagi.
#Johor Memilih #Dr Adham Baba #manifesto BN #Barisan Nasional
;