PRN Johor: Larangan mengundi kerana positif COVID-19 tidak menepati Perlembagaan - Pensyarah

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 12, 2022 19:53 MYT
Kepincangan yang berlaku dalam proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini perlu diperbaiki, kata Pensyarah Media dan Pengajian Komunikasi University Of Nottingham Malaysia, Prof Zaharum Nain. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beberapa isu yang mewarnai proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang tidak sepatutnya terjadi.
Menurut Pensyarah Media dan Pengajian Komunikasi University Of Nottingham Malaysia, Prof Zaharum Nain, antara isu yang mencetuskan rasa tidak puas hati ialah penutupan awal beberapa pusat mengundi.
“Ada beberapa masalah telah timbul… ada beberapa kekeliruan umpannya penutupan awal di beberapa pusat pengundian tidak dijelaskan lebih awal kepada pengundi. Itu perkara yang perlu diperbaiki.
“Satu lagi isu denda yang telah dikenakan kepada salah seorang pengundi yang dikatakan telah positif COVID-19. Dalam satu keadaan yang kita sedar kita ada penyakit tersebut, saya rasa perlu disediakan cara untuk membolehkan mereka (yang positif COVID-19) untuk mengundi. Itu adalah hak dari segi Perlembagaan,” kata beliau dalam wawancara dengan Astro AWANI hari ini.
Malah, kata beliau, pihak berwajib juga harus memberi perhatian pada aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan mereka yang positif COVID-19 turut melunaskan tanggungjawab sebagai rakyat.
Dua insiden tersebut yang berlaku petang tadi telah menyebabkan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengkritik tindakan itu yang dianggap melanggari hak dan jaminan Perlembagaan yang diberi kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Bagaimanapun, dalam masa sama, Zaharum berkata, secara keseluruhannya, proses pengundian yang berlangsung sepanjang hari ini boleh dikategorikan sebagai lancar dan baik.
BACA: PRN Johor: Keliru SOP baharu, pengundi positif COVID-19 dikompaun RM1,000
BACA: PRN Johor: Dakwaan pusat mengundi tutup mengejut tidak benar
Dalam perkembangan sama, Pengurus Penyelidik Kanan Merdeka Center, Tan Seng Keat ketika sesi temubual Astro AWANI juga senada menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah tindakan tidak wajar sama sekali.
Jelasnya, Malaysia perlu melihat prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan oleh negara lain seperti Korea Selatan yang juga baru sahaja melalui proses pilihan raya.
Pihak berkuasa negara itu mewujudkan inisiatif yang lebih praktikal dengan melaksanakan sesi khas bagi membolehkan mereka yang dijangkiti melunaskan hak mereka.
#PRN Johor #Perlembagaan #COVID-19 #larangan mengundi
;