PRN Johor: Kurang peluang pekerjaan punca anak muda tinggalkan Mersing

Hilmi Malik
Februari 27, 2022 16:08 MYT
Muhammad Hairulnizam Abd Wahid (kiri) dan Mohd Azril Hakim Rosazlin gesa pihak berwajib beri perhatian pada pembangunan anak muda di Mersing.
MERSING : Isu kekurangan peluang pekerjaan di Mersing merupakan topik hangat yang disuarakan golongan belia di daerah itu.
Meskipun Mersing menawarkan pelbagai potensi untuk anak muda menceburi bidang pekerjaan, namun usaha untuk mewujudkan cabang pekerjaan itu tidak kelihatan.
Menurut Yang Dipertua Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Mersing, Muhammad Hairulnizam Abd Wahid, ketiadaan ruang untuk anak muda mencari pendapatan di kawasan setempat menjadi punca mereka meninggalkan kawasan itu.
Trend penghijrahan anak-anak tempatan, kata Muhammad Hairulnizam, menunjukan petanda tidak baik kerana tindakan itu pada akhirnya hanya akan merugikan Mersing.
“Kita (anak muda) masih kurang hab pekerjaan… kita dapat lihat berapa ramai yang keluar tinggalkan Mersing untuk cari kerja.
“Ini petanda yang tidak baik kerana Mersing ini katanya sebagai pusat pelancongan jadi saya tak salah untuk rekrut anak muda dan berikan latihan industri.
“Kita nak buka mata orang luar bahawa Mersing tidak ketinggalan walaupun status bandarnya agak terpinggir,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Bukan setakat peluang pekerjaan yang menjadi topik perbincangan anak muda, malah soal pembangunan bagi golongan itu juga seakan perlahan.
Bagi anak jati Mersing, Mohd Azril Hakim Rosazlin, dia sendiri secara peribadi amat kecewa melihat keadaan pembangunan beliau di kawasannya yang seolah-olah tidak diberi perhatian.
Katanya, prasarana untuk pembangunan anak muda tidak disediakan dan kalau ada sekalipun sudah tidak boleh digunakan lagi.
Mohd Azril Hakim memberi contoh fasiliti Wisma Belia yang terletak di pekan Mersing juga dah rosak.
“Tak banyak program yang dianjurkan untuk golongan belia dan pemimpin yang datang pun kurang menyantuni anak muda.
“Jadi suara anak muda itu sendiri tidak menyerlah dan kita tak berjaya nak menyumbang untuk kawasan sendiri,” katanya dalam nada kecewa.
Tambah Mohd Azril Hakim, aspek yang juga perlu diberi penekanan pihak berwajib ialah isu gaji minimum kos sara hidup di Mersing |juga tidak setanding dengan status bandarnya yang dikatakan terpinggir.
Sementara itu, Mohd Haikal Sadri berpendirian, anak-anak muda di Mersing mempunyai potensi yang besar untuk diketengahkan, namun, malang sekali hal itu tidak diberi perhatian.
Ekoran kekecewaan itu, katanya, golongan belia mudah terjerumus dengan kegiatan tidak berfaedah seterusnya menjadi penyumbang kepada kes gejala sosial.
“Mungkin ada yang tak sedar mereka ada potensi tapi tiada pihak atau ejen yang mampu untuk ketengahkan kemampuan anak muda di kawasan ini.
“Perhatian lebih juga perlu diberikan kepada anak muda agar kita sendiri nampak apa yang mereka mampu sumbangkan kepada masyarakat,” ujarnya.
Mereka yang ditemui turut menzahirkan kebimbangan sekiranya bandar Mersing ini juga hanya bakal menjadi lubuk untuk warga pencen disebabkan peluang yang tidak kelihatan untuk anak muda.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan penglibatan anak muda buat kali pertama untuk turut bersama memilih pemimpin yang bakal menerajui kawasan mereka menerusi platform Undi18.
Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal menjadi tumpuan pengundi di Mersing yang melibatkan DUN Endau dan juga Tenggaroh.
Saingan DUN Endau melibatkan lima penjuru yang terdiri daripada penyertaan calon daripada Barisan Nasional (BN), Youzaimi Mohd Yusof, Pakatan Harapan (PH) Mohamad Fakrulradzi Mahmud, Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Norhisyam Mohd Ibrahim, dan calon Bebas, Ismail Don.
Sementara itu, pertembungan empat penjuru bagi DUN Tenggaroh yang membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Raven Kumar Krishnasamy, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulinah A Johari, Perikatan Nasional (PN), Roslan Nikmat, dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Firdaus Abd Rahman.
#Belia #Undi18 #peluang pekerjaan #PRN Johor
;