PRN Johor: Ketua Wanita UMNO sebak kenangkan perbuatan Alwiyah
Hilmi Malik
Februari 28, 2022 18:41 MYT
Februari 28, 2022 18:41 MYT
MERSING : Tindakan calon Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib yang melompat parti ternyata menyinggung perasaan jentera parti UMNO yang telah banyak berkorban dalam membantu kemenangan calon itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Wanita UMNO Felda Tenggaroh 6, Normidiah Sukimin berkata, jentera parti tidak pernah mengenal erti penat lelah, namun, pengorbanan itu dianggap seperti ‘kacang lupakan kulit’.
“Kita kerja siang malam tak pernah fikir soal penat tapi bila dia (Alwiyah) lompat kita sebak, ini parti UMNO kita buat untuk dia dan dia pilih untuk bersama parti lain.
“Parlimen patut tegaskan mana-mana ahli politik yang lompat jangan dibenarkan bertanding tak kiralah apa parti mana pun. Dia lompat itu untuk kepentingan diri bukan untuk rakyat pun,” luahnya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh pada Isnin.
Tambah Normidiah, perbuatan Alwiyah juga dianggap sebagai tidak megenang budi usaha jentera partinya selama ini dalam memperjuangkan karier politiknya.
Mengulas mengenai calon yang bertanding, Normidiah menekankan, isu calon yang bertanding bukan menjadi masalah utama, sebaliknya, apa yang lebih penting adalah sokongan dan kesetiaan kepada parti (BN).
Dalam masa sama, Normidiah menzahirkan kebimbangan berhubung nasib anak muda.
Jelasnya, apa yang kelas kelihatan, pemahaman golongan itu terhadap landskap politik tanah air menjurus pada emosi dan hanya bergantung sepenuhnya kepada maklumat di media sosial.
“Anak muda perlu fahami lagi sejarah kerana mereka yang bakal mewarisi pemerintahan negara, jangan sampai tiada tempat untuk bersuara.
“Apa nak jadi dengan anak muda susah saya nak cakap kerana semua bergantung kepada media sosial dan mudah percaya maklumat... kita perlu tengok parti yang mampu pertahankan nasib orang Melayu,” ujarnya lagi.
Alwiyah sebelum ini memenangi kerusi DUN Endau pada PRU14 yang lalu sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu beberapa hari selepas kemenangannya.
Bagaimanapun, beliau yang ditemui baru-baru ini menyifatkan tindakan itu demi memperjuangkan nasib pengundinya yang memerlukannya bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.