PRN Johor: Ketua Penerangan AMK negeri umum letak jawatan
Harits Asyraf Hasnan
Februari 14, 2022 20:30 MYT
Februari 14, 2022 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail mengumumkan meletak jawatan, hari ini.
Dia pada masa sama turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru.
Surat peletakan kedua-dua jawatan itu dikongsikannya menerusi muat naik status di akaun Facebook, hari ini.
Bagaimanapun, dia tidak menyatakan secara terperinci sebab peletakan jawatan itu.
Semalam, di akaun Facebooknya, Mohamad Taufiq turut memuat naik status yang menggambarkan kekecewaannya, namun tidak merujuk kepada mana-mana parti.
"‘Parti ini parti derita’. Memang deritalah sampai bila-bila.
"Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua," katanya menerusi dua muat naik status berbeza.
Dia juga bertindak menukar foto profil Facebook kepada warna hitam.