PRN Johor: Keputusan UMNO bertanding solo hanya boleh diputuskan secara konsensus
Abd Hadi Che Awang
Januari 16, 2022 08:40 MYT
Januari 16, 2022 08:40 MYT
KUALA NERANG: Keputusan sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekiranya diadakan, bergantung sepenuhnya kepada konsensus yang melibatkan kepimpinan tertinggi parti.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, parti itu sentiasa berada pada tahap bersedia sekiranya PRN itu benar-benar menjadi kenyataan.
"UMNO dan BN adalah parti yang sentiasa bersedia. Jika itulah keputusan di Johor (mengadakan PRN), UMNO sedia untuk pilihan raya.
"(Bertanding solo atau tidak) itu keputusan parti. Saya sebagai naib presiden, tidak berhak bercakap bagi pihak parti.
"Apa yang boleh saya katakan, ia terserah kepada keputusan parti, maknanya (melalui) konsensus.
"Sekiranya (kepimpinan) buat keputusan seperti (di PRN) Melaka, maknanya kita pergi solo. Tetapi, kalau sebaliknya, kita tidak pergi solo, jadi (ia ikut) keputusan parti," katanya.
Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pengurusan melibatkan kepimpinan parti UMNO berjalan dengan baik, sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa parti itu berpecah kepada dua kem.
"Buat pertama kali Perdana Menteri (yang datang dari) UMNO adalah naib presiden. Selalunya Perdana Menteri adalah Presiden.
"Jadi, apabila naib presiden jadi Perdana Menteri, Presiden uruskan parti.
"Tetapi setakat ini, Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (jalankan tugas) sebagai Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (jalankan tugas sebagai) Presiden parti.
"Walaupun begitu, kita tidak nampak ada (percanggahan). Kita berada di bawah satu 'frame' untuk menuju pilihan raya umum (PRU) ke-15," jelas Mahdzir.