PRN Johor: Kemas kini, perketat SOP elak kluster COVID-19 pilihan raya
Harits Asyraf Hasnan
Februari 7, 2022 16:20 MYT
Februari 7, 2022 16:20 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengemas kini semula prosedur operasi standard Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya lebih ketat susulan peningkatan ketara kes COVID-19.
Pakar Kesihatan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata SOP PRN Melaka dan Sabah tidak sesuai digunakan kerana ketika itu tiada penularan varian Omicron dan kes tidak begitu tinggi.
"Sekiranya PRN Johor diumumkan untuk diteruskan, ia haruslah dilakukan dengan SOP yg lebih baik dan dikemaskini berbanding PRN sebelum ini seperti di Melaka dan Sarawak.
"Ini kerana di waktu tersebut, kes tidak naik seperti ketika ini dan tiada varian Omicron semasa PRN tersebut.
"Jika kita lihat balik di kedua-dua negeri tersebut (Melaka dan Sabah), tiada kenaikan jumlah kes yang ketara dan tiada peningkatan yang mendadak kepada kemasukan hospital dan kadar kematian di negeri-negeri tersebut.
"Jika diumumkan dengan SOP yang dikemaskini dan ditambah baik, ia (PRN) boleh dilakukan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini hari ini.
Johor pada Ahad merekodkan 1,500 kes baharu COVID-19 dengan 10,089 kes baharu di seluruh negara.
Pada Isnin, Malaysia merekodkan 11,034 jangkitan baharu COVID-19 dengan nilai RT semasa adalah 1.27.