PRN Johor: Kecewa dengan MUDA, namun PKR tidak akan ambil langkah serupa - Syed Ibrahim
Firdaus Azil
Februari 25, 2022 14:26 MYT
Februari 25, 2022 14:26 MYT
JOHOR BAHRU: Biarpun kecewa dengan langkah parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang meletakkan calonnya di Larkin, namun Keadilan Johor tidak akan mengambil langkah yang serupa.
Pengerusi Keadilan Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keputusan itu diambil bagi menghormati rakan-rakan komponen Pakatan Harapan, iaitu Parti Amanah Negara dan DAP.
Namun, Ahli Parlimen Ledang itu bertegas, tindakan parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu adalah kurang bijak, dan hanya akan mengakibatkan MUDA dicemuh oleh pengundi di Johor.
“Saya amat kesal akan tindakan MUDA tersebut kerana ia jelas tidak menghormati semangat kebersamaan pembangkang dalam membela masa depan rakyat dan negeri Johor dalam PRN.
“Namun wajar saya tegaskan dan ingatkan bahawa tindakannya itu bercanggah dengan pendekatan membawa suara rakyat dan lawan musuh bersama, malah lebih buruk lagi, ia seolah-olah memberi kemenangan kepada lawan,” katanya lagi.
Syed Saddiq pada Khamis mengumumkan Rasid Abu Bakar akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pencalonan Ketua Penerangan MUDA Johor itu menyaksikan bakal berlakunya pertindihan kerusi melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut meletakkan calon di DUN tersebut.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang, Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon parti itu di DUN Larkin.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, MUDA masih ada masa untuk menimbang semula tindakannya sebelum penamaan calon pada 26 Februari.
“Keadilan hanya akan tumpu kepada membantu calonnya dan calon Amanah serta DAP dalam PRN ini, sekiranya MUDA tetap meletakkan calonnya di kerusi ditandingi KEADILAN.
“Memang benar bahawa rakyat yang akan menentukan siapa pilihan mereka tetapi biarlah pertimbangan dibuat atas dasar dan sikap yang betul dalam politik,” katanya lagi.