PRN Johor: Kaum India kembali sokong BN - MIC

Abd Razak Mohd Ali
Mac 13, 2022 18:34 MYT
Vigneswaran, berkata kemenangan itu juga membuktikan rakyat berbilang kaum memberi sokongan padu kepada calon-calon BN. - Gambar/ Bernama
SUNGAI SIPUT: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan pengiktirafan rakyat negeri itu terhadan gabungan berkenaan, selain tanda pengundi India kembali kepada BN.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata kemenangan itu juga membuktikan rakyat berbilang kaum memberi sokongan padu kepada calon-calon BN.
"Apa yang kita kerap nyatakan beberapa tahun kebelakangan ini bahawa undi kaum India telah balik ke pangkuan BN bukan lagi satu retorik.
"Ini yang berlaku dalam pilihan raya di Melaka dan Johor... mudah-mudahan dapat juga kita merasai sokongan kaum India untuk parti BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang," dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan Tabung Pendidikan India Negeri Perak di Sungai Siput, pada Ahad.
KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2022
[TERKINI] Kerajaan tidak terburu-buru adakan PRU-15
Menurutnya, MIC juga menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan masa yang sesuai mengadakan PRU15.
Katanya, kepimpinan tertinggi BN juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen menjelang PRU15.
Beliau menegaskan MIC tidak akan meminta-minta kerusi semata-mata hanya untuk bertanding.
"Sebaliknya, apa yang paling penting ialah permintaan itu mestilah berlandaskan kepada peluang untuk menang yang tinggi," katanya.
#PRN Johor #MIC #BN #India kembali sokong BN
;