MERSING : Calon Bebas DUN Endau, Ismail Don mengharapkan mampu untuk meraih sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus undi bagi kerusi tersebut.

Ismail Don yang juga merupakan calon anak watan itu bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan parti gergasi.

“Saya harap pengundi Bebas dapat bantu saya, kalau tak menang pun lepas deposit jadilah (dikembalikan wang deposit).

“Nak cakap pasal bersaing itu pun tak boleh sebab mereka parti-parti gading (parti besar) nak bandingkan kita ini parti halus, tetapi biar rakyat la tentukan,” katanya ketika ditemui sewaktu berkempen di sekitar Endau pada Khamis.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI


Dalam pada itu, isu penduduk di kawasan kampung katanya antara yang menjadi matlamat utama dia bertanding di kawasan tersebut berikutan kurang perhatian daripada pihak kerajaan.

“Kawasan kampung mereka (kerajaan) tak hiraukan dan kita tengok fokus lebih di kawasan Felda jadi kenapa abaikan kawasan kampung dan di situ kita dah nampak permainan dia.

"Saya dah penat tunggu 10 tahun nak lihat pembangunan penduduk saya tapi janji punya janji sama sahaja, sekarang baru nampak muka ahli politik muncul,” katanya lagi.

Sementara itu, calon Bebas itu juga turut berkongsikan berhubung kehilangan bendera partinya sepanjang aktiviti berkempen.

Baiamanapun beliau tidak ingin menuduh mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan tersebut sebaliknya mendakwa ada yang berminat dengan bendera partinya.

“Saya ada lebih 300 bendera parti calon Bebas tapi kebanyakannya hilang, kalau ada tinggal 10 bendera tu pun dah cukup baik.

“Ada yang kita jumpa (bendera) orang pasang di motosikal, rumah, traktor, jadi nak cakap hilang pun susah saya anggap mereka berminat,” ujarnya lagi.

Calon Bebas DUN Endau, Ismail Don menaiki traktor sebagai gimik berkempen

Ismail Don bakal bersaing dengan empat lagi calon parti lain yang terdiri daripada calon Youzaimi Mohd Yusof (BN), Alwiyah Talib (PN), Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH), serta Mohd Norhisyam Ibrahim (Pejuang) untuk merebut kerusi tersebut.