PRN Johor: Kalau berani, pakai la 'Abah Sayang Johor' di sini, Puad Zarkashi cabar Muhyiddin
Firdaus Azil
Januari 31, 2022 13:23 MYT
Januari 31, 2022 13:23 MYT
JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi hari ini mencabar Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi ‘poster boy’ di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Selain itu, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu turut mencabar bekas Perdana Menteri (PM) itu untuk menggunakan slogan ‘Abah Sayang Johor’.
Untuk rekod, wajah dan slogan berkait dengan Muhyiddin, telah digunakan secara meluas sewaktu PRN Melaka, tahun lepas.
“Saya nak cabar Muhyiddin supaya dia kekal jadi ‘poster boy’ PN di PRN Johor. Tolong guna slogan sama macam di Melaka “Abah sayang Johor”.
“Masa enam bulan pertama jadi PM ke 8, Muhyiddin dan pengampunya mendakwa dia adalah PM paling popular. Rupanya selepas 17 bulan, Abahku hilang jawatan PM. Dia “PMGagal”.
“Nyawa PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) terletak pada Muhyiddin. Ada Abahku, adalah PPBM. PRN Johor adalah medan hidup mati PPBM. Ia beban berat kepada Abahku,” kata Mohd Puad lagi.
Pada 25 Januari lepas, Muhyiddin memaklumkan beliau mungkin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu pada PRN Johor nanti.
Katanya, langkah itu bagi membolehkan beliau menumpukan sepenuh masa kepada soal yang lebih utama di peringkat Parlimen dan Pusat serta mengurus hal-hal berkaitan parti.
Susulan kenyataannya itu, pengkritik Muhyiddin mendakwa Presiden Bersatu itu sudah merasakan angin politik tidak begitu menyebelahi beliau ketika ini.
“Semoga Abahku tidak menyesal kerana tubuh PPBM dan cuba bunuh UMNO. Dia patut kesal dan malu kerana kalah dengan ahli akar umbi UMNO yang kental setia dengan UMNO,” kata Mohd Puad lagi.