PRN Johor: Kaedah undi pos mampu reda kerisauan rakyat mengundi di kala pandemik

Israr Khalid
Februari 22, 2022 10:50 MYT
Pilihan raya yang berjaya tidak semestinya memerlukan kehadiran fizikal, yang penting undi ada dan sampai. -Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerisauan rakyat untuk keluar bersesak serta keterbatasan penyakit COVID-19 yang dalam kuarantin untuk mengundi dapat dibantu dengan cara undi pos.
Kata mantan ahli tetap Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), G. Manimaran, ia perlu dilaksanakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya lebih ramai dapat terlibat dalam proses demokrasi ini.
Jika tidak, masalah peratusan keluar mengundi rendah sepertimana yang dicatatkan pada PRN Melaka dan Sarawak tempoh hari dikhuatiri akan berlaku lagi buat kali ketiga di Johor pada 12 Mac nanti.
“Saya rasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kena sediakan kemudahan undi pos untuk pengundi tidak hadir pada hari mengundi sebagaimana kita sediakan kepada pasukan-pasukan keselamatan kita.
“Normallah manusia bimbang tapi kita kena atasi perkara ini.
“Begitu juga pesakit COVID-19, mereka juga perlu diberi peluang, kalau mereka di rumah kita hantar kertas undi pos, mereka undi masuk ke dalam sampul yang diberi dan hantar ke tempat yang sepatutnya undi mereka dikira,” katanya.
Selain itu untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi, langkah teras yang perlu dilaksanakan ialah menggandakan usaha mendidik dan memaklumkan rakyat tentang kepentingan mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini.
Jika tidak, rugi berbelanja besar untuk mengadakan pilihan raya tetapi sudahnya tidak mendapat sambutan rakyat dan paling penting, ia tidak mewakili sebenar-benarnya suara kolektif rakyat apabila tidak sampai dua pertiga daripada rakyatnya mengundi.
Lebih buruk, ia akan terus menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sistem negara dan akhirnya mampu meruntuhkan kestabilannya.
Maka, tegas Manimaran, SPR perlu bertindak segera untuk memperbaiki aspek-aspek yang disebutkan dalam usaha memperkasakan demokrasi di Malaysia.
Tonton temu bual penuh bersama penulis buku “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia” ini dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
PRN Johor | Undi pos selesaikan masalah rakyat, individu positif COVID-19 mengundi - G. Manimaran
Agenda AWANI: SOP fleksibel PRN Johor
#PRN Johor #Johor Memilih #undi pos #G Manimaran
;