PRN Johor: Jika tidak mahu tangguh jangan halang ceramah bersemuka - Majlis Presiden PH
Firdaus Azil
Februari 10, 2022 11:58 MYT
Februari 10, 2022 11:58 MYT
JOHOR BAHRU: Ada keperluan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, memandangkan jumlah jangkitan varian Omicron sudah melebihi 17,000 kes, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Dalam satu kenyataan hari ini, mereka mendakwa, ada kemungkinan situasi berkenaan akan diperalatkan oleh pihak tertentu demi tujuan politik.
Sekiranya Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkannya, Majlis Presiden PH berkata, maka kempen berceramah secara bersemuka perlu dibenarkan, mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka Kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor. Sekiranya Kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan.
“Yang pasti Perintah Kawalan Pergerakan penuh (total lockdown) tidak boleh dikenakan kerana terbukti gagal sebelum ini,” katanya lagi.
Majlis Presiden PH turut memberikan amaran agar Kerajaan tidak menyalahgunakan penguatkuasaan saman ke atas individu dan perniagaan.
Sebaliknya, tegas mereka lagi, Kerajaan perlu memberi fokus kepada pendidikan dan kesedaran untuk menangani cabaran gelombang Omicron ini yang rata-rata bergejala ringan.
“Janganlah kerana nak bunuh nyamuk, habis kelambu dibakar,” kata mereka lagi.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik DAP Lim Guan Eng, Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.
Dalam pada itu Majlis Presiden berkata, PH bakal menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’, sebagai langkah menghadapi PRN Johor.
Mereka berkata, ia merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik yang akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.
Selain itu, kenyataan tersebut menyebut, Majlis Presiden juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi DUN-DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Ini demi menyatakan kesediaan Pakatan Harapan menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk Kerajaan Negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” katanya lagi.
Selain itu Majlis Presiden PH berkata, mereka turut mengambil maklum siri libat urus berhubung Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bersama Ahli-Ahli Parlimen yang telah diadakan di Parlimen semalam.
“RUU Anti Lompat Parti ini bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan dan Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Perkara 2.1, Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.
“Perkara 2.4 menyatakan bahawa RUU ini perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac 2022.
“Oleh itu, Majlis Presiden berpandangan bahawa RUU Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan seperti yang dipersefahami di dalam MOU tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.