PRN Johor: 'Jangan takut tukar pemimpin, 'ajar' mereka yang mainkan demokrasi' - Afiqah
Hasimi Muhamad
Februari 28, 2022 12:30 MYT
Februari 28, 2022 12:30 MYT
PAGOH: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong termasuk golongan muda perlu berani menukar pemimpin bagi menjadikan landskap politik yang lebih kompeten.
Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di DUN tersebut, Afiqah Zulkifli berkata, situasi politik negara yang dipenuhi golongan 'elit politik' mengakibatkan Malaysia semakin terkebelakang dan tiada perubahan dalam pembuatan polisi.
Justeru, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu berharap para pengundi tidak putus asa untuk membawa perubahan dalam sistem demokrasi negara.
"Tetapi rakyat tidak boleh ambil mudah kuasa mengundi itu. Rakyat pun ada kuasa, kalau 'elit politik' ini dia ada duit yang banyak, (tetapi) rakyat perlu sedar yang rakyat ada kuasa mengundi.
"Dengan keluar mengundi, dengan soladiriti daripada rakyat, rakyat mampu menukar pemimpin dan mampu mengajar pemimpin yang merasakan mereka boleh membeli undi... yang merasakan pengundi ini boleh digula-gulakan, boleh ditipu, dicandukan dengan wang, (atau) dengan retorik agama dan kaum," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Afiqah, 31, berkata dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, generasi muda akan terkesan dengan pembuatan dasar termasuk dalam sistem pendidikan, sekiranya tiada perubahan dalam tampuk kepimpinan negara.
Tegas graduan Sarjana Sains Alam Bina (Pengurusan Bencana) itu lagi, peluang untuk menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya mereka yang pertama kali mengundi, tidak seharusnya disia-siakan.
"Jadi saya kira kalau anak muda tidak keluar mengundi, mereka mensia-siakan kuasa yang ada.
"Kita tahu kita ada masalah tapak politik di Malaysia, tetapi kita tunjukkan kepada mereka-mereka yang mempermainkan demokrasi bahawa kami juga ada kuasa, anak muda juga ada kuasa. Dengan cara, itu 'elite politik' itu akan lebih takut kepada para pengundi," ujarnya lagi.
Ditanya mengenai kepercayaan yang diberikan parti MUDA untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Kepong, Afiqah menyifatkan ia sebagai satu amanah yang besar.
Sebagai parti baharu, beliau berkata satu cabaran besar untuk membawa nama MUDA yang memiliki jangkaan yang tinggi oleh kebanyakan masyarakat.
DUN Bukit Kepong bakal menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRN Johor, 12 Mac ini.
Selain Afiqah, turut bertanding di kerusi tersebut ialah Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal daripada Perikatan Nasional (PN); calon Barisan Nasional (BN), Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), diwakili Md Taib Md Suhut.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Sahruddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor memenangi DUN Bukit Kepong atas tiket Pakatan Harapan (PH), mengalahkan calon BN, Mohd Noor Taib dan Pas, Muhamad Nur Iqbal Abd Razak.